Sepanjang memikirkan idea-idea yang hendak disurahkan dalam karangan ini, ingatan terhimbau dengan anak lelaki rakan baik saya.
Umurnya baru mencapai tiga tahun, namun nakalnya tidak terperi. Setiap kali bertemu dengannya, ada sahaja kerenah yang ingin ditunjukkan.
Sesekali dia ulang putaran lagu Mechamato sehingga saya jemu, adakalanya dia mahu menjadi Spiderman dalam setiap tingkah laku dan gelagatnya.
Meskipun memori ini manis benar dikenang apatah lagi saya sungguh teruja dengan gelagat kanak-kanak itu, hakikinya saya menjadi sayu.
Tatkala umur mencecah dewasa, sisi Spiderman itu mulai dinyahaktif dan dibungkam. Barangkali bebanan kerja yang bertimbun-timbun menunggu kehadiran kita setiap pagi di pejabat membuatkan kita lesu.
Setakat mengingati adanya notifikasi emel tidak terjawab pun sudah menghilangkan senyuman yang sepatutnya terukir di bibir apabila salam diberikan sebelum masuk ke rumah.
Pada umur berapakah sebenarnya kita berhenti mahu menjadi Spiderman?
Kemungkinan besar tidak satu tarikh khusus yang boleh ditandakan pada kalendar. Kita perlahan-lahan diajar bahawa manusia dewasa mestilah serius, perlulah rasional, hendaklah menghitung untung rugi dan kemudiannya menyimpan imaginasi di pojok fikiran yang tidak mengganggu kesibukan hidup.
Jubah adiwira dilipat, permainan disimpan sementelahan khayalan diketepikan. Lantaran itu, kita menggantikan cita-cita dan mimpi indah dengan jadual mesyuarat, tunggakan bil, sasaran prestasi dan puluhan urusan tetek-bengek yang ironinya lebih banyak mengendalikan kehidupan kita berbanding segala raksasa yang pernah dilawan oleh Spiderman.
Namun, benarkah menjadi dewasa menuntut kita mematikan sisi bermain dalam diri?
Inilah persoalan yang bermain-main dalam fikiran saya apakala melihat reaksi orang dewasa yang menonton Spiderman: Brand New Day.
Sekali-kali hilai tawa didengari berganti tangis yang cuba ditahan. Kira-kira dua jam tidak cukup untuk membiarkan para penonton berusia dewasa ini mengeluarkan sisi kanak-kanaknya.
Di sinilah ruang baharu yang memungkinkan kita menonton Spiderman bukan sekadar figura budaya popular, tetapi sebagai alegori falsafah untuk memikirkan hakikat manusia.
Satu sudut pandang yang boleh menjadi pijakan dalam mencerakinkan watak ini ialah cita-cita Übermensch oleh Friedrich Nietzsche.
Sudah tentulah Spiderman tidak sama sekali dengan gagasan itu. Watak Peter Parker tetap menonjolkan kemanusiaannya yang penuh kegelisahan, kesilapan dan kelemahan yang lazim dilakukan oleh manusia biasa.
Walaupun begitu, saya kira hal itulah yang menarik direnung—di tengah-tengah keterbatasannya, dia tidak kalah malah bangkit setiap kali ujian menimpa.
Übermensch acap kali disalahfahami sebagai adimanusia dalam pengertian jasmaninya—kuat berotot, gagah perkasa malah lebih berkuasa daripada manusia kebanyakan.
Jika ciri itulah yang menjadi sandaran, Spiderman pasti menang. Dia mampu memanjat dinding, mengangkat beban luar biasa, mengesan bahaya dan berayun-ayunan dari satu pencakar langit ke pencakar langit lainnya.
Kendatipun demikian, itu bukanlah satu-satunya sisi yang ingin ditonjolkan oleh Nietzsche.
Gagasan Übermensch lebih menghampiri keberanian manusia untuk mengatasi dirinya (self-overcoming), mencipta kemungkinan baharu dan tidak memasrahkan makna hidupnya bulat-bulat kepada keadaan yang dialami.
Justeru, perkara yang menarik pada figura Peter Parker bukanlah gigitan labah-labah yang mengubah DNA jasadnya.
Pun begitu, titik inilah yang memisahkannya daripada gambaran manusia yang memperoleh kuasa luar biasa secara kebetulan.
Kuasa yang diterimanya tidak menjadikan kehidupannya lebih mudah secara serta-merta. Sebaliknya, kuasa itu membawanya berkelana ke satu fasa hidup baharu yang penuh tanggungjawab diselang-selikan panca roba, kehilangan dan penderitaan.
Meskipun Peter Parker sudah menjadi Spiderman, beliau tetap berdepan dengan krisis identiti, keretakan hubungan, kematian orang tersayang, tuntutan tugas, keresahan keluarga dan kegagalan peribadi.
Lebih daripada itu, dia membawa bersama dirinya ingatan terhadap kematian ibu saudaranya, May Parker yang tercinta—luka yang terus menghantui jejak kehidupannya.
Sememangnya mudah untuk melihat kehidupan begini sebagai satu beban yang sengaja ditanggung.
Peter Parker pun tidak boleh mengubah kenyataan bahawa dirinya pernah mengalami kecuaian. Beliau juga tidak boleh menghidupkan semula insan tersayang yang kehilangan nyawa rentetan peristiwa di luar jangkauannya.
Sungguhpun pancaroba yang dialami ibarat jatuh ditimpa tangga, keadaan ini tidak mematahkan semangat hidupnya malahan menemui makna baharu.
Kata-kata May Parker, “When you help someone, you help everyone” menjadi azimat mujarab yang membulatkan tekadnya untuk melangsungkan kehidupan.
Pada titik inilah kita dapat melihat penjelmaan self-overcoming seorang Peter Parker—daripada rasa bersalah, lahir tanggungjawab; daripada kehilangan, lahir keberanian.
Terdapat satu sisi lain Spiderman yang jarang direnungkan dan saya kirakan inilah dimensi lebih mustahak sebalik segenap kekuatannya—bermain.
Perhatikan sahaja bagaimana Spiderman bergerak. Sekalipun keadaan menuntut kehadirannya secara serius, pergerakannya seolah-olah bermain—dia berayun, berpusing, melompat dan menjadikan ruang bandar sebagai taman permainan.
Hal ini dapat dilihat lebih jelas dalam adegan perlawannya yang kendatipun penuh aksi nan genting namun masih disulami gurauan, ejekan dan sindiran.
Keseriusan dunia sepertinya tidak pernah mampu merampas keceriaan daripada lenggok bahasa dan tingkahnya.
Sisi inilah yang mempertemukan Spiderman sebagai adiwira atau Übermensch dengan gagasan homo ludens—manusia sebagai makhluk yang suka bermain-main.
Permainan bukan sekadar pengisi masa lapang kanak-kanak sementara umurnya mulai menapaki kedewasaan.
Bermain ialah cara manusia memasuki dunia, mencipta makna, menguji kemungkinan dan melepaskan diri daripada bebanan kehidupan yang konkrit dan rigid kendatipun untuk seketika sahaja.
Gelagat anak rakan saya yang meniru-niru gaya Spiderman memencarkan sesawang dari urat-urat lengan sebenarnya menonjolkan realiti yang sungguh manusiawi.
Barangkali anak rakan saya itu sedar bahawa dia bukanlah Spiderman, namun lagak dan gelagatnya menunjukkan betapa permainan itu dihayati bersungguh-sungguh.
Jurang antara “aku bukan Spiderman” dan “aku boleh menjadi seperti Spiderman” menjadi ruang yang membolehkan imaginasi bergerak aktif.
Menariknya, Nietzsche sendiri menempatkan kanak-kanak pada tahap terakhir tiga metamorfosis roh dalam Maka Bersabdalah Zarathustra—unta, singa dan akhirnya kanak-kanak.
Unta memikul beban, singa memberontak untuk memperoleh kebebasan sementelahan kanak-kanaklah yang mencipta.
Kanak-kanak bermain dengan riang, memulakan semula setelah selesai permainannya dan mengatakan “ya” kepada kehidupan.
Maka, bukanlah hal yang aneh seandainya seorang kanak-kanak berusia tiga tahun mahu menjadi Spiderman kerana gelodak imaginasinya sedang aktif “mencipta” gambaran-gambaran kehidupan yang hendak ditempuhi—sebagai adiwira!
Keanehan sebenar terzahir pada manusia dewasa yang sudah membungkamkan kehendak alamiahnya yang mahu terus-terusan mencipta.
Adakah kerana kehidupan begitu menghimpit sehingga akhirnya kita mendewasa dengan belajar memikul beban seperti seekor unta?
Atau lebih teruk lagi, menjadi seekor keldai buta huruf yang memikul buku dan kitab lalu berlagak seperti seorang berhikmah?
Adakalanya kita menjadi singa dengan memberontak, membantah dan cuba melepaskan diri daripada tekanan yang menyesakkan dada.
Tampaknya tidak ramai yang benar-benar kembali bermetamorfosis sebagai seorang kanak-kanak yang berkemampuan bermain, mencipta dan melihat kehidupan sebagai ruang kemungkinan beraneka dimensi.
Spiderman memperoleh nilai simboliknya menerusi sudut pandang ini. Di sela-sela tanggungjawabnya yang berat, ada jeda yang mengizinkannya untuk bermain.
Penderitaan yang dilalui pun tidak sekali-kali mematahkan semangat hidupnya. Bahkan, penolakan oleh MJ yang lupa kewujudan dirinya tidak menghalangnya daripada berterusan menyelamatkan wanita itu.
Seorang Peter Parker arif benar akan hakikat kekejaman dunia, namun beliau tidak mengizinkan kekejaman itu menenggelamkan dirinya. Barangkali itulah bentuk paling indah untuk mengiyakan kehidupan.
Pengarang bukanlah mengajak para pembaca benar-benar mencontohi tingkah figura yang dibicarakan dengan memanjat dinding atau sengaja membiarkan diri digigit dek labah-labah.
Pengertian yang saya ingin sudutkan daripada seorang Spiderman ialah kesanggupan untuk terus mengatakan “ya” kepada kehidupan walau betapa getir dan genting pun ia.
Kita boleh belajar daripada Peter Parker bahawa tanggungjawab dan beban yang dipikul tidak semestinya menafikan kegembiraan; penderitaan tidak semestinya menjadi alasan untuk membenci kehidupan; dan kedewasaan tidak seharusnya menyahaktifkan imaginasi.
Malahan, pengalaman menonton filem Spiderman itu sendiri menjadi suatu bentuk permainan.
Selama dua jam menyandarkan diri di kerusi panggung, kita memasuki dunia baharu yang dilakarkan dengan beraneka macam adegan yang tidak sepenuhnya tunduk kepada hukum alam sehari-hari.
Kita percaya seorang pemuda boleh berayun merentas Manhattan lantas bersorak apabila musuhnya dikalahkan, tertawa tatkala sindiran meniti bibirnya dan berdebar apabila jejaringnya terputus pada saat paling genting.
Dalam kegelapan sebuah dewan pawagam, orang dewasa yang selama ini sibuk dengan laporan, hutang, mesyuarat dan emel kembali menjadi kanak-kanak.
Kita meninggalkan sisi itu apabila lampu panggung dinyalakan semula. Seorang demi seorang mulai berdiri lalu beredar, malahan meninggalkan sampah untuk dikutip oleh pekerja pembersihan.
Filem yang mengajarkan erti tanggungjawab tampaknya hanya singgah di bebola mata namun tidak benar-benar terpateri di pojokan minda.
Spiderman ditinggalkan pada skrin layar, seolah-olah segala keberanian, permainan dan daya cipta yang baru disaksikan tidak mempunyai apa-apa urusan dengan kehidupan sebenar.
Kita tersilap. Pada hakikatnya, kita tidak perlu menjadi Spiderman secara nyata untuk mencontohi simbolismenya.
Perkara yang kita perlu lakukan adalah dengan mengaktifkan semula sisi Spiderman yang sudah dibungkamkan sekian lama—keberanian untuk mengakui kesilapan masa lampau lalu berusaha untuk mengubah diri menjadi lebih baik, memikul tanggungjawab tanpa mengorbankan keriangan dan sekali-sekala melihat dunia sebagai pentas persembahan untuk dinikmati tanpa menafikan tujuan kewujudan diri.
Sekiranya Übermensch ialah manusia yang sentiasa mengatasi dirinya sementelahan homo ludens ialah manusia yang bermain-main, Spiderman menjadi titik tengah antara keduanya.
Dia mengingatkan kita bahawa setiap masalah yang dilalui ada jalan keluarnya tanpa perlu berkerut dahi dan memasamkan wajah setiap masa.
Manusia justeru memartabatkan dirinya apabila ia tahu bagaimana memposisikan dirinya tanpa perlu mengorbankan senyuman yang meniti di bibir.
Tragedi sebenar kehidupan berlaku apakala kita menjadi jemu untuk membayangkan bahawa seorang Spiderman masih boleh bernafas dalam diri tanpa perlu menafikan beban berat yang dipikul saban waktu.













