KUALA LUMPUR — Hadiah Puisi T. Alias Taib III 2026/2027 kembali membuka ruang kepada penyair muda tanah air untuk mengetengahkan karya puisi menerusi penghasilan manuskrip lengkap, dengan tarikh tutup penyertaan ditetapkan pada 1 November 2026.
Pertandingan yang terbuka kepada semua rakyat Malaysia berusia 45 tahun dan ke bawah itu menawarkan hadiah utama berupa awalan royalti sekurang-kurangnya RM1,000 kepada setiap pemenang, selain peluang karya mereka dipertimbangkan untuk diterbitkan di bawah Penerbitan KataPilar atau Tukang Puisi.
Sebanyak lima pemenang disasarkan bagi edisi kali ini, sekali gus memberikan peluang kepada lebih ramai pengkarya untuk memperkenalkan suara dan karya mereka kepada khalayak pembaca.
Setiap penyertaan perlu mengandungi sekurang-kurangnya 50 buah puisi yang dikumpulkan dalam satu manuskrip dan fail Microsoft Word.
Peserta bebas menentukan panjang, tema serta bentuk puisi, sama ada tradisional mahupun moden, dengan syarat kesemua karya ditulis dalam bahasa Melayu.
Penganjur turut membenarkan maksimum 20 puisi yang pernah tersiar dalam media cetak atau majalah elektronik untuk dimuatkan dalam manuskrip.
Puisi yang pernah disiarkan di internet atau media sosial juga dibenarkan dengan syarat siaran tersebut diprivasi atau digugurkan selepas manuskrip dihantar.
Bagi pelantar yang tidak membenarkan karya dipadamkan, syarat berkaitan karya yang pernah diterbitkan perlu dipatuhi.
Setiap manuskrip pula wajib diberikan judul dan seorang peserta dibenarkan menghantar lebih daripada satu penyertaan. Namun begitu, setiap puisi hanya boleh dimuatkan dalam satu manuskrip sahaja.
Dari segi pengiriman karya, setiap penyertaan perlu dikemukakan dalam satu fail Microsoft Word. Pengiriman menggunakan format lain seperti PDF, JPEG atau Notepad tidak akan diterima.
Peserta yang ingin menghantar lebih daripada satu manuskrip juga perlu menghantar setiap penyertaan melalui kiriman e-mel yang berasingan.
Bersama manuskrip, peserta perlu menyertakan nama, nama pena jika ada, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan WhatsApp serta alamat surat-menyurat. Maklumat yang diberikan hendaklah sahih bagi memastikan pihak urus setia dapat menghubungi peserta sekiranya diperlukan.
Manuskrip boleh dihantar melalui e-mel kepada hptaliastaib@gmail.com sebelum atau pada 1 November 2026.
Dalam aspek penerbitan, karya pemenang akan dipertimbangkan oleh pihak Penerbitan KataPilar atau Tukang Puisi untuk diterbitkan.
Pihak penganjur dan editorial berhak melakukan penyuntingan, menyarankan perubahan atau membuat pengubahsuaian yang dianggap perlu bagi memastikan konsep, konsistensi dan mutu karya terpelihara.
Oleh itu, karya yang diterbitkan tidak semestinya hadir dalam bentuk yang sama seperti manuskrip asal yang dihantar oleh peserta.
Penganjur turut menegaskan bahawa tiada tolak ansur terhadap karya yang didapati mengandungi unsur plagiat.
Sebarang keputusan pertandingan adalah hak mutlak penganjur, manakala penganjur juga berhak mengubah, membatalkan atau menarik balik penyertaan dan kemenangan sekiranya didapati tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.
Hadiah Puisi T. Alias Taib III 2026/2027 bukan sekadar medan pertandingan, malah menyediakan laluan daripada penghasilan manuskrip kepada kemungkinan penerbitan buku.
Tawaran tersebut sekali gus membuka ruang kepada penyair muda untuk mengembangkan karya dalam bentuk yang lebih tersusun dan mencapai khalayak pembaca yang lebih luas.
Sebarang pertanyaan berkaitan penyertaan boleh diajukan melalui e-mel, Messenger atau WhatsApp kepada urus setia di talian 018-288 2019 (Cik Kathy).













