KUALA LUMPUR — Dunia hiburan dan seni visual bakal disatukan menerusi Dua Layar: Selebriti ke Kanvas, sebuah program anjuran Balai Seni Negara sempena Festival Budaya Malaysia 2026 (FBM 2026) yang berlangsung dari 11 hingga 16 September di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Program berkenaan mengetengahkan sisi kreatif selebriti tempatan melalui penghasilan karya seni visual, sekali gus membuka ruang kepada masyarakat untuk melihat bakat mereka daripada sudut yang berbeza daripada bidang seni persembahan yang selama ini menjadi tumpuan.
Antara selebriti yang mengambil bahagian ialah Yaya Maembong, Joey Daud, Zul Handy Black, Dato’ Imuda dan Wan Raja.
Karya yang dihasilkan mereka akan dipamerkan dan ditawarkan untuk jualan sepanjang festival berlangsung.
Selain berpeluang menghayati karya, pengunjung turut dapat menyaksikan demonstrasi penghasilan seni secara langsung serta berinteraksi dengan selebriti menerusi sesi Meet & Greet.
Pendekatan lebih santai dan interaktif turut diterapkan menerusi beberapa aktiviti seperti Cosplay Art, Doodle Art, AI Photo Booth dan Art Box (Public Art).
Pengisian berkenaan memberi peluang kepada pengunjung untuk menghasilkan karya dan bereksperimen dengan kreativiti mereka sendiri.
Penyertaan Balai Seni Negara dalam FBM 2026 turut disokong dengan pembukaan Kaunter Khidmat Pelanggan yang menyediakan maklumat mengenai institusi berkenaan, termasuk pameran, program, aktiviti dan perkhidmatan yang ditawarkan.
Inisiatif tersebut memperlihatkan usaha berterusan Balai Seni Negara untuk mendekatkan seni visual dengan masyarakat melalui pendekatan yang lebih terbuka, inklusif dan interaktif.
Pada masa yang sama, penglibatan dalam festival berkenaan turut menyediakan ruang kepada penggiat seni dan pengkarya kreatif untuk mempromosikan karya serta produk mereka kepada khalayak yang lebih luas. Aktiviti jualan yang dilaksanakan sepanjang festival juga berpotensi menyumbang kepada penjanaan pendapatan dan perkembangan ekonomi kreatif negara.
FBM 2026 yang dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menghimpunkan pelbagai pengisian berkaitan warisan, seni dan kreativiti tempatan untuk dinikmati masyarakat serta pengunjung dari dalam dan luar negara.
Orang ramai dijemput mengunjungi reruai Balai Seni Negara sepanjang festival untuk menyaksikan Dua Layar: Selebriti ke Kanvas selain menyertai pelbagai aktiviti seni yang disediakan.
Maklumat lanjut mengenai program dan pameran Balai Seni Negara boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi Balai Seni Negara serta saluran media sosial rasminya.













