Selepas 41 tahun, KPM perkenal Dasar Perbukuan Negara baharu

Dasarperbukuannegara

KUALA LUMPUR — Kerajaan memperkenalkan Dasar Perbukuan Negara (DPN) baharu selepas 41 tahun bagi memperkukuh budaya membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia dan memperkasa industri perbukuan negara agar lebih progresif, inklusif, mampan serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Dasar yang membawa aspirasi “Malaysia Membaca, Industri Diperkasa” itu dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.

Majlis peluncuran anjuran Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Urus Setia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) itu turut mendapat kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Perbadanan Kota Buku, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) serta Majlis Industri Buku Malaysia (MBIC).

DPN yang diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Ogos 2026 itu merupakan pembaharuan menyeluruh terhadap Dasar Buku Negara (DBN) 1985 yang menjadi asas pembangunan sektor perbukuan negara selama lebih empat dekad.

Penggubalan dasar baharu itu mengambil kira perubahan landskap perbukuan tempatan dan global, termasuk perkembangan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), perubahan corak pembacaan, perlindungan harta intelek serta keperluan memperluas akses kepada bahan bacaan berkualiti secara saksama.

Dalam ucapan perasmian, Fadhlina menegaskan bahawa kejayaan DPN tidak hanya bergantung pada dokumen dasar, sebaliknya pada perubahan yang mampu dibawa kepada masyarakat, peluang yang dibuka kepada pengkarya serta kemajuan keseluruhan rantaian industri perbukuan.

“Kita mahu generasi yang menguasai teknologi tetapi tidak kehilangan akal budi, generasi yang terbuka kepada dunia tetapi teguh dengan nilai dan jati diri,” katanya.

Berteraskan sembilan gagasan, 31 strategi dan 43 prakarsa, DPN menggariskan hala tuju pembangunan ekosistem perbukuan negara yang merangkumi penciptaan karya, penerbitan bercetak dan digital, penterjemahan, perlindungan hak cipta, pengedaran serta pemasaran.

Sembilan gagasan itu meliputi budaya membaca, pendigitalan, literasi undang-undang dan hak cipta, penterjemahan profesional, pembangunan profesionalisme, pusat sehenti perbukuan negara, ekonomi perbukuan baharu, rangsangan industri perbukuan serta ekosistem perbukuan inklusif.

Pendekatan tersebut turut memberikan penekanan terhadap pemerkasaan profesional industri, pengantarabangsaan karya tempatan dan peluasan akses bahan bacaan mesra Orang Kurang Upaya (OKU).

Pelaksanaan DPN diselaraskan melalui MBKM yang dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan dengan penglibatan 12 kementerian, pelbagai agensi kerajaan, institusi pendidikan serta tujuh persatuan industri perbukuan negara.

Pendekatan keseluruhan kerajaan dan masyarakat itu bertujuan memastikan pembangunan industri perbukuan tidak hanya tertumpu pada penerbitan buku, tetapi turut merangkumi pembudayaan membaca, penyebaran ilmu dan pembangunan ekonomi kreatif.

Bersempena peluncuran tersebut, dua sesi Wacana Dasar Perbukuan Negara turut dianjurkan bagi membincangkan masa hadapan ekosistem perbukuan.

Wacana pertama bertemakan Sastera, Penerbitan dan Penterjemahan: Memartabatkan Karya Malaysia ke Persada Dunia menampilkan Sasterawan Negara Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dan Sasterawan Negara Dato’ Dr. Mohd Anwar Ridhwan.

Wacana kedua pula membincangkan ekosistem perbukuan inklusif dan budaya membaca dengan menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar, serta Timbalan Pengarah Kanan Pusat Bibliografi Negara, PNM, A. Azli Abd Rahim. Kedua-dua sesi dikendalikan oleh Tokoh Perbukuan Negara, Mohd Khair Ngadiron.

Majlis turut diserikan dengan pameran 50 Judul Terbaik Malaysia, Galeri Sembilan Gagasan DPN, pameran manuskrip DBP serta pengenalan Inisiatif My Assistive Technology Access (M.A.T.A.) oleh Perbadanan Kota Buku.

DPN turut menyokong aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara membaca selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 4 (SDG 4), selain memperkukuh kedudukan negara sebagai hab perbukuan serantau dan antarabangsa.

Dasar baharu itu diharapkan menjadi landasan pembangunan masyarakat berilmu, kritis dan kreatif, sekali gus menjadikan industri perbukuan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi berasaskan pengetahuan dan kreativiti.

  • Ashraf Ali

    Ashraf Ali, wartawan Titik Baca yang menumpukan liputan sastera, budaya dan seni. Penulisannya memberi perhatian kepada perkembangan semasa, isu penerbitan, acara budaya serta kenyataan rasmi yang berkaitan dunia kreatif tempatan.

    Dengan pendekatan pelaporan yang ringkas dan berfakta, Ashraf Ali menekankan kejelasan maklumat, konteks dan ketepatan sumber, selari dengan peranan Titik Baca sebagai portal media budaya. Ashraf boleh dihubungi melalui ashrafali@titikbaca.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *