KUALA LUMPUR — Filem Khadam mencipta kejayaan apabila dinobatkan sebagai Filem Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-35 (FFM35) yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, pada Sabtu.
Kemenangan tersebut membolehkan Komet Productions Sdn. Bhd. dan Red Communications Sdn. Bhd. menerima Dana Kandungan Kreatif (DKK) berjumlah RM1 juta, selain wang tunai RM5,000 dan trofi yang disampaikan oleh Menteri Komunikasi, Dato’ Seri Fahmi Fadzil.
Pemberian dana berkenaan merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi memastikan kesinambungan penghasilan karya kreatif tempatan, di samping memperkukuh keupayaan penerbitan dan menggalakkan penghasilan filem berkualiti, inovatif serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Kejayaan Khadam turut disusuli kemenangan dalam kategori Pengarah Terbaik yang diraih Shamyl Othman menerusi filem sama.
Sementara itu, Shaheizy Sam dan Aida Amron masing-masing dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Badak.
FFM35 turut memberikan Anugerah Khas Sepanjang Zaman kepada dua figura tersohor industri perfileman tanah air, Ahmad Yatim dan Fauziah Ahmad Daud, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan serta legasi mereka dalam industri seni dan perfileman negara.
Panchacharam P. Nalliah atau lebih dikenali sebagai Pansha pula menerima Anugerah Khas Karyawan atas sumbangannya kepada industri perfileman tempatan.
Mengangkat tema “Spektrum Sinema”, FFM35 meraikan kepelbagaian genre, budaya, bahasa, perspektif, teknologi dan generasi pembikin filem yang membentuk landskap sinema Malaysia.
Festival ini turut menjadi platform pertemuan penggiat industri daripada pelbagai generasi, termasuk penerbit, pengarah, pelakon, tokoh seni veteran serta tenaga kreatif di belakang tabir yang memainkan peranan penting dalam pembangunan industri perfileman negara.
Penganjuran malam kemuncak FFM35 turut mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya Istana Budaya dipilih sebagai lokasi utama festival berprestij itu.
Pemilihan Panggung Sari sebagai pentas acara memperlihatkan pengiktirafan terhadap peranan institusi seni dan budaya negara dalam mengangkat martabat industri kreatif tanah air.
Malam Anugerah FFM35 disiarkan secara langsung menerusi TV2, Radio Televisyen Malaysia (RTM), selaku rakan penyiar rasmi.
Penganjuran festival ini turut mendapat sokongan sektor korporat dan pemain industri kreatif menerusi kerjasama strategik dengan Honor Magic9 Pro Max sebagai rakan rasmi telefon pintar pengimejan sinematik, CAT, Zeekr serta beberapa syarikat produksi tempatan.
Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Datuk Bahria Mohd Tamil; Pengerusi FINAS, Hans Isaac; serta Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Azmir Saifuddin Mutalib.
Senarai penuh pemenang FFM35 boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi festival di https://ffm.finas.my.












