KUALA LUMPUR — Lelongan Seni Henry Butcher November 2026 bakal menghimpunkan sebanyak 176 lot karya seni yang menampilkan hasil tangan tokoh seni moden Malaysia, seniman kontemporari tersohor serta seniman berbakat dari rantau Asia Tenggara pada 22 November ini.
Berlangsung di Menara KEN, Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), lelongan kali ini menampilkan karya beberapa nama besar dalam seni visual tanah air, antaranya Abdul Latiff Mohidin, Datuk Ibrahim Hussein, Dato’ Yusof Ghani, Awang Damit Ahmad, Jolly Koh, Cheong Laitong dan Dato’ Sharifah Fatimah.
Antara karya yang menjadi tumpuan ialah Voyage Rimbaud II (2003–2004) hasil karya Abdul Latiff Mohidin yang dianggarkan bernilai antara RM350,000 hingga RM600,000. Karya daripada siri Voyage ini mendapat inspirasi daripada alam semula jadi, pengembaraan dan tamadun purba.
Karya tersebut memperlihatkan penguasaan teknik sapuan berus Latiff Mohidin serta penggunaan lapisan warna yang padat dan bertindih, sekali gus menghasilkan ekspresi visual yang tersendiri.
Turut menjadi perhatian ialah Siri Tari 5 (1994) oleh Dato’ Yusof Ghani yang dianggarkan bernilai antara RM200,000 hingga RM300,000.
Menerusi siri ikonik Tari, Yusof Ghani menterjemahkan unsur budaya melalui gerak tari yang dinamik dan penuh ekspresi. Penggunaan garisan spontan, bentuk yang tersusun serta warna yang berani menyerlahkan tenaga dan pergerakan dalam karya tersebut.
Sementara itu, karya Essence of Culture (E.O.C.) (1986) oleh Awang Damit Ahmad, yang dianggarkan bernilai antara RM120,000 hingga RM200,000, turut menjadi antara tarikan utama lelongan.
Karya daripada siri awal Intipati Budaya itu berakar daripada pengalaman kehidupan seniman berkenaan ketika membesar di Sabah, khususnya persekitaran masyarakat yang bergantung pada kegiatan pertanian dan perikanan sebagai sumber rezeki.
Pengalaman tersebut diterjemahkan melalui sapuan berus yang tegas dan penggunaan warna terang bagi menggambarkan ketabahan manusia, keindahan alam semula jadi serta warisan budaya yang membentuk kehidupan masyarakat.
Lelongan kali ini turut menampilkan beberapa karya mendiang Khoo Sui Hoe yang meninggal dunia pada pertengahan tahun ini. Antaranya ialah Front Garden (2011), yang dianggarkan bernilai antara RM32,000 hingga RM55,000.
Karya tersebut memperlihatkan suasana damai dan tenteram, sekali gus mengundang penghayat seni untuk menikmati keindahan serta ketenangan yang dizahirkan melalui ekspresi visual seniman berkenaan.
Sebelum lelongan berlangsung, orang ramai berpeluang melihat sendiri kesemua karya yang ditawarkan menerusi pameran awam dari 14 hingga 21 November 2026, bermula pukul 10.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari. Masuk adalah percuma.
Lelongan dijadualkan berlangsung pada Ahad, 22 November 2026, pukul 1.00 petang di Menara KEN, Aras M, Dewan 1 hingga 3, Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Sim Polenn menerusi talian 016-273 3628 atau melayari laman web www.hbart.com.my.













