KUALA LUMPUR – Pelantikan Aswad Ismail sebagai Ketua Pengarah Penyiaran yang baharu disifatkan sebagai satu keputusan penting yang perlu diterjemahkan kepada perubahan sebenar dalam landskap penyiaran negara, khususnya melibatkan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) Dato’ Jurey Latiff Rosli berkata isu utama bukan sama ada pelantikan tersebut datang daripada orang luar atau dalaman organisasi, sebaliknya sejauh mana kepimpinan baharu mampu membawa perubahan signifikan kepada RTM dan keseluruhan industri penyiaran.
Menurut beliau, PTVM menghormati keputusan Menteri Komunikasi berhubung pelantikan tersebut sebagai prerogatif kepimpinan kementerian.
Namun, katanya, industri berhak menyuarakan harapan dan kebimbangan secara terbuka serta berprinsip, memandangkan RTM kini berada di persimpangan penting dalam era digital yang semakin kompetitif.
“RTM tidak boleh terus bergerak secara rutin pentadbiran semata-mata. Ia memerlukan transformasi kandungan yang jelas dan berani, model perolehan yang lebih realistik dan mampan, serta hubungan industri yang lebih profesional dan telus,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau turut menekankan keperluan RTM meningkatkan standard produksi agar mampu bersaing dengan platform digital dan perkhidmatan penstriman over-the-top (OTT), selain membina naratif nasional yang lebih segar dan diyakini rakyat.
Dalam masa yang sama, Jurey berkata PTVM memahami perasaan warga RTM yang mungkin berasa kecewa susulan pelantikan kepimpinan baharu, memandangkan mereka telah lama berkhidmat dan membangunkan organisasi tersebut.
“Kepimpinan baharu perlu membuktikan bahawa kehadiran beliau adalah untuk memperkukuh pasukan sedia ada, bukan melemahkan moral dalaman,” katanya.
Tambah beliau, RTM bukan sekadar sebuah jabatan kerajaan, sebaliknya merupakan institusi penyiaran awam yang menjadi simbol kredibiliti maklumat dan wajah komunikasi kerajaan kepada rakyat.
PTVM, katanya, mengalu-alukan pelantikan tersebut dan bersedia untuk bekerjasama secara profesional dengan kepimpinan baharu RTM, termasuk mengemukakan cadangan-cadangan konkrit bagi memperkukuh ekosistem penyiaran negara.
“Industri tidak menuntut retorik. Industri menuntut arah tuju. Akhirnya, yang dinilai bukan siapa yang dilantik, tetapi apa yang berjaya diubah dan ditinggalkan sebagai legasi,” tambahnya.












