Kontrak Pengarah MBKM wajar dilanjut sekurang-kurangnya enam bulan — Pemerhati

Gambar kecil: Faizal Riduan

KUALA LUMPUR — Kontrak bekas Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Mohd Khair Ngadiron wajar dipertimbangkan untuk dilanjutkan sekurang-kurangnya enam bulan bagi memastikan kelancaran penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (PBAKL 2026), kata Perunding Pembangunan Sumber Manusia, Faizal Riduan.

Beliau berkata langkah tersebut adalah praktikal memandangkan penganjuran acara besar industri buku itu semakin hampir dan memerlukan kesinambungan kepimpinan yang memahami keseluruhan perancangannya.

“Biasa kita tengok pegawai lantikan kerajaan yang sudah berpencen, masih boleh disambung.

“Saya rasa dalam keadaan macam ini, bulan April dan bulan berikutnya kita ada pesta buku besar, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (PBAKL). Sepatutnya orang yang sama kekal,” katanya.

Faizal berkata demikian ketika ditemui Titik Baca pada Jumaat bagi mengulas kekosongan jawatan Pengarah MBKM selepas tamatnya tempoh perkhidmatan Mohd Khair baru-baru ini.

Menurutnya, pertukaran kepimpinan pada saat-saat akhir boleh menyebabkan pengarah baharu tidak sempat menyesuaikan diri dengan tanggungjawab sebenar jawatan tersebut.

“Sebab kalau kita buat pertukaran, penggantinya nanti sebenarnya macam tak akan buat apa-apa, dia macam datang sebagai protokol sahaja. Dia tak menjiwai jawatan atau kerja-kerja tersebut,” jelasnya.

Beliau turut mencadangkan agar kontrak Mohd Khair dilanjutkan sekurang-kurangnya enam bulan bagi memberi ruang peralihan yang lebih teratur kepada pengarah baharu.

“Mungkin boleh difikirkan untuk sambung kontrak Mohd Khair. Paling minimum enam bulan ia sangat praktikal. Sebab kalau tidak, orang baru masuk dan hanya ‘mencuci kaki’,” tambahnya.

Faizal berkata perubahan kepimpinan yang terlalu mendadak juga boleh membawa kepada perubahan dasar atau perancangan yang drastik, sekali gus menjejaskan program yang telah dipersetujui lebih awal.

“Dan paling merisaukan adalah adanya perubahan drastik. Sebab setiap pengarah itu ada visi, perancangan dan keinginan, kepuasan peribadi masing-masing,” ujarnya.

Beliau memberi contoh kemungkinan perubahan mendadak dalam konsep penganjuran PBAKL sekiranya pengarah baharu ingin memperkenalkan pendekatan berbeza.

“Sebagai contoh kita sudah tahu Negara Fokus kita pada PBAKL2026 Arab Saudi, tiba-tiba pengarah baru nak Iran pula jadi Negara Fokus, itu perubahan drastik yang kita cuba elakkan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Mohd Khair mengumumkan tamatnya tempoh perkhidmatannya sebagai Pengarah MBKM selepas enam tahun menerajui institusi berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *