CEO PKB sokong Mohd Khair kekal pimpin MBKM, kekalkan momentum industri buku

KUALA LUMPUR — Ketua Pengarah Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Adibah Omar menekankan kepentingan mengekalkan Mohd Khair Ngadiron sebagai Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) untuk tempoh tertentu bagi memastikan kesinambungan program industri buku negara, terutamanya menjelang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (PBAKL 2026).

Menurut beliau, industri perbukuan negara kini berada pada tahap tertinggi dalam sejarah, dengan akses kepada buku yang sebelum ini sukar dicapai, serta pelaksanaan inisiatif besar termasuk Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia serta Dasar Perbukuan Negara yang sedang dibawa ke Kabinet.

“Kita berada di fasa kritikal. Momentum yang ada ini mesti dikekalkan. Dasar Perbukuan Negara, yang sudah lama cuba diselesaikan sejak 1985, kini berada di hujung jalan dan hanya menunggu kelulusan Kabinet.

Kita benar-benar perlukan pemimpin yang berpengalaman untuk memastikan semua perancangan ini tidak terhenti,” kata Adibah ketika ditemui Titik Baca pada Jumaat.

Beliau menekankan bahawa jawatan Pengarah MBKM adalah terbuka, yang bererti boleh diisi oleh individu di luar industri perbukuan, namun risiko memilih pengarah tanpa pengalaman dan kepakaran adalah tinggi.

“Beliau telah berjaya mengembalikan industri kepada landasan yang betul sejak di zaman Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik. Dalam tempoh enam tahun beliau menerajui MBKM, beliau berjaya menyelaraskan industri dan kerajaan, selaras dengan model yang disarankan UNESCO. Dia adalah anchor yang kita perlukan sekarang,” kata Adibah.

Beliau turut menyeru agar Mohd Khair diberi peluang sementara untuk “menggilap” penerus legasinya sebelum jawatan itu dibuka kepada calon baharu.

Menurut Adibah, Mohd Khair telah berjaya membawa masuk lebih RM400 juta pada 2024 dan 2025 ke dalam industri perbukuan negara, menunjukkan impak nyata terhadap pembangunan sektor tersebut.

Sebelum ini, Mohd Khair mengumumkan tamatnya tempoh perkhidmatannya sebagai Pengarah MBKM selepas enam tahun menerajui institusi berkenaan. Dalam satu hantaran di Facebook, beliau memaklumkan bahawa kontrak penggal ketiganya berakhir semalam, serentak dengan genap enam tahun kepimpinannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *