Kenyataan Mutalib Uthman cetus perbincangan isu had kuasa di sebalik polemik kontrak Pengarah MBKM

KUALA LUMPUR — Satu hantaran media sosial oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Mutalib Uthman minggu lalu mencetuskan perbincangan dalam kalangan pemain industri perbukuan mengenai isu had kuasa dan kepimpinan institusi, di tengah ketidaktentuan mengenai masa depan jawatan Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM).

Dalam hantaran di Facebook itu, Mutalib menulis mengenai kepentingan had tempoh kuasa dalam sistem demokrasi moden, dengan merujuk kepada tempoh perkhidmatan pemimpin politik dan pegawai kanan institusi negara.

“Dalam demokrasi moden semua benda ada had kuasa. Parlimen ada pilihan raya setiap beberapa tahun.

“Untuk negara yang ada Presiden, mereka ada had penggal. Hakim ada umur persaraan dan Ketua Pengarah SPRM pun ada tempoh perkhidmatan.

“Bukanlah aku nak cakap orang seperti ini jahat. Tetapi sejarah telah menunjukkan satu corak yang sangat konsisten; kuasa yang terlalu lama berada pada orang yang sama akhirnya membuatkan sistem perlahan-lahan akan berpusat di sekeliling individu itu,” katanya pada 10 Mac.

Walaupun tidak menyebut nama secara langsung, kenyataan tersebut dipercayai merujuk kepada perbincangan dalam industri buku mengenai kemungkinan sambungan kontrak Pengarah MBKM, Mohd Khair Ngadiron.

Ketika dihubungi Titik Baca semalam, Mutalib mengesahkan bahawa hantaran tersebut memang berkait dengan perdebatan semasa mengenai kepimpinan MBKM.

Namun beliau menegaskan bahawa persoalan utama bukanlah mengenai individu tertentu, sebaliknya keupayaan institusi untuk berfungsi secara berterusan.

Mengulas kebimbangan sesetengah pihak bahawa kepimpinan sedia ada perlu dikekalkan sekurang-kurangnya sehingga selesai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) tahun ini, Mutalib berpendapat acara itu tetap boleh berjalan tanpa bergantung kepada seorang individu.

Menurutnya, jika sesebuah institusi tidak mampu meneruskan program tanpa tokoh tertentu, maka itu menunjukkan kelemahan dalam struktur pentadbiran organisasi berkenaan.

“Kalau tanpa dia (Mohd Khair) sekalipun untuk mengemudi PBAKL, pesta buku itu tetap boleh berjalan seperti biasa. Ini sebenarnya soal keupayaan institusi untuk mentadbir,” katanya.

Perbincangan mengenai kepimpinan MBKM semakin hangat selepas Mohd Khair baru-baru ini mengumumkan bahawa tempoh perkhidmatannya sebagai Pengarah MBKM telah berakhir selepas enam tahun menerajui institusi berkenaan.

Dalam satu hantaran di Facebook, beliau memaklumkan bahawa kontrak penggal ketiganya berakhir serentak dengan genap enam tahun kepimpinannya.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau turut membentangkan Kad Laporan Strategik MBKM 2019–2026: Memacu Tamadun Ilmu yang merumuskan pencapaian serta hala tuju strategik MBKM, termasuk kejayaan PBAKL yang diiktiraf sebagai antara festival sastera terbaik dunia.

Setakat ini, belum ada pengumuman rasmi mengenai sama ada kontrak Mohd Khair akan disambung atau siapa yang bakal menerajui MBKM selepas ini, namun perbincangan dalam kalangan pemain industri buku tempatan terus berlangsung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *