IPOH – Ipoh Music Symposium 2026 (IMS2026) membuka panggilan makalah kepada para ilmuwan, penyelidik, pemuzik, pengamat budaya serta penggiat seni untuk menyertai simposium yang akan berlangsung pada 23 hingga 25 Oktober 2026 dengan tema "Muzik Rakyat: Dari Tradisi Desa ke Pentas Dunia."
Penganjuran simposium kali ke lapan ini bertujuan menghimpunkan sarjana, pengkarya, pendidik muzik dan komuniti seni bagi membincangkan peranan, evolusi serta kelestarian muzik rakyat dalam konteks Malaysia dan dunia kontemporari.
Menurut pihak penganjur, muzik rakyat bukan sekadar warisan lisan yang diwariskan turun-temurun, malah menjadi cerminan identiti budaya, nilai sosial, sejarah komuniti serta pengalaman kolektif masyarakat pelbagai etnik di Malaysia dan juga di peringkat global.
Melalui pembentangan kertas kerja, forum diskusi, demonstrasi muzik serta persembahan khas, simposium ini akan menelusuri pelbagai aspek berkaitan muzik rakyat, termasuk dokumentasi dan analisis muzik, transformasi dalam pendidikan serta industri kreatif, selain potensi inovasi muzik rakyat dalam bentuk persembahan moden.
Simposium ini juga diharapkan dapat menjadi ruang dialog antara tradisi dan kontemporari, serta merapatkan hubungan antara penyelidikan akademik dan amalan seni, demi memastikan warisan muzik rakyat terus relevan dan berdaya tahan dalam era globalisasi.
Antara sub-tema yang dicadangkan termasuk dokumentasi, arkib dan kelestarian warisan; analisis muzik, teks dan konteks sosial; muzik rakyat dalam pembentukan identiti masyarakat majmuk; transformasi dan adaptasi dalam industri kreatif; serta pendidikan, teknologi dan pemindahan pengetahuan dalam tradisi muzik rakyat.
Pihak penganjur memaklumkan bahawa makalah yang dihantar hendaklah antara 1,500 hingga 2,500 patah perkataan, manakala tarikh akhir penghantaran makalah lengkap ialah pada 13 September 2026.
Peserta yang berminat diminta menghantar abstrak dan biografi ringkas mengikut tarikh yang telah ditetapkan. Semua penulisan boleh dihantar melalui emel ke ipohmusicsymposium@gmail.com.
Untuk pertanyaan lanjut mengenai simposium tersebut, orang ramai boleh menghubungi En. Hanif di talian 013-482 9533.












