Menulis dan teruslah menulis

pen on white lined paper selective focus photography

Unsplash. Photo by Aaron Burden.

Mari bermula dengan menyoal apakah itu tulisan?

Itulah soalan yang ditengahkan oleh minda saya di tengah-tengah malam.

Walaupun pada mulanya saya tidak menganggap ada apa-apa yang mendalam mengenai soalan itu, otak saya mula menghubungkan sel-sel neuron yang sudah lama tidak berhubung.

Kenapa tulisan itu begitu khas sehingga minda kita tidak dapat mengelak membacanya saat mata bertemu simbol?

Kadangkala tidak faham pun, tetapi kita tetap cuba membaca.

Agak luar biasa bagaimana ia dapat mendidik, mempengaruhi, malah menggodam realiti seseorang?

Kita semua kenal kawan yang bermatian percaya bumi ini leper bagai lempeng separa masak, sebagai contoh.

Pada waktu ini saya sudah bersuluk di dalam minda tersendiri di dalam dimensi berlainan.

Memikirkan tentang bagaimana simbol-simbol aneh ini berjaya membentuk ekspresi kemanusiaan, budaya, komunikasi, dan karya kreatif termasuk notasi muzik, skrip teater dan filem, serta penerangan seni tampak, kesemuanya bertujuan untuk memastikan karya itu dapat bertahan ke masa hadapan.

Tapi tunggu sebentar.

Pada suatu masa dahulu, menulis itu dianggap sebagai ancaman kepada pemikiran pada tahap tertinggi. Orang bijak pandai pada waktu itu adalah penghafal aktif.

Mereka menghafal seluruh ilmu dari kecil sehinggalah dewasa.

Ilmu turun daripada guru ke murid secara berhafal. Seluruh konsep sanad hadis berdasarkan hal ini di mana bukan sahaja kata-kata hadis dihafal tetapi keseluruhan rangkaian perawi.

Kerana itu juga, mereka boleh berdiskusi atau berdebat tanpa apa-apa pelawaan awal, tanpa mengira masa dan tempat.

Untuk mereka, menghafal menunjukkan kekuatan pemikiran dan bergantung pada penulisan adalah sebuah kelemahan.

Semua tradisi keagamaan, ekonomi, budaya dan seni berlangsung secara verbal, di mana setiap ahlinya adalah penghafal yang serius.

Kita sebenarnya boleh membuat anggaran bila penulisan mengambil alih status penghafalan, ia juga berlaku sekian lama dahulu.

Hal-hal penting seperti agama, ekonomi dan politik mula bertulis untuk mengelakkan kekeliruan ataupun penipuan.

Surat menyurat menjadi popular kerana pendudukan manusia semakin jauh daripada satu sama lain.

Seawal Epik Gilgamesh dipahat atas media bernama batu, ia memberi konotasi bahawa apabila sesuatu itu ditulis, ia sudah menjadi kanun.

Ia sudah dipahat, sudah diarkib, tidak boleh diubah-ubah.

Jika ada kesilapan, tidak kira medium apa, aksi membetulkan penulisan akan meninggalkan kesan yang dapat dilihat oleh semua orang.

Siapa dahulu pernah terlebih picit pemadam cecair sehingga jadi tak cantik atas kertas? Ia secara langsung membina rasa kurang enak malah malu di dalam kalangan jurutulis.

Kerana sifat menulis itu sangatlah statik.

Sehingga kalau kita mahu membawa naratif alternatif, variasi kepada sesebuah teks, ingin mencelah pendapat mengenai sesuatu?

Kita perlu menulis sebuah dokumen, buku, atau batu bersurat baharu.

Untuk menulis, kita harus menjadi teliti, cermat, dan bersengaja pada setiap simbol, garis dan titik.

Sifat statik ini adalah madu dan racun pada masa yang sama kerana tulisan bukan mengenai kebenaran atau ketepatan realiti.

Sesiapa sahaja boleh menulis tentang realiti, fantasi, agenda, propaganda, pemasaran, penipuan dan tidak semestinya yang benar atau muluk sahaja.

Kita juga boleh simpulkan intipati sifat ini iaitu kewujudan satu penulisan akan mendatangkan beberapa hasil penulisan lain, yang boleh dilihat daripada respon-respon orang kepada sayembara yang tiada pemenang utama baru-baru ini.

Diskusi, debat, sintesis; pemikiran akan sentiasa bergerak.

Hanya di era digital hari ini, sifat tidak berubah di atas sudah berubah dan dapat diubah.

Jika penghafal zaman lalu datang ke masa kini, mereka mungkin akan menganggap kita ahli sihir jahat yang dapat mengubah kata-kata yang sudah tertulis.

Hakikatnya, majoriti manusia pada hari ini membesar di dalam era digital.

Pengubah suai dalam menulis seperti BACKSPACE, UNDO, COPY, PASTE, AUTOCORRECT, EDIT POST, malah SPELLCHECK dan AI-LLM (Large Language Model) adalah biasa.

Penulisan dalam bentuk digital tidak lagi bersifat statik atau kekal lama.

Antara contoh adalah percubaan kerajaan Trump di Amerika Syarikat cuba memadam sejarah dengan memadam bahagian-bahagian tertentu daripada laman web rasmi, termasuk beberapa baris daripada Perlembagaan mereka yang menjadi rujukan utama penyokong mereka.

Walaupun ya, versi fizikal Perlembagaan Amerika Syarikat masih wujud dan banyak dokumen dan buku lain mengarkibkannya dengan tepat, tetapi bayangkan jika kita sudah tiada akses terhadap dokumen dan buku-buku fizikal?

Membakar buku adalah antara taktik biasa sang penguasa terhadap pengkritik mereka.

Di sini kita dapat lihat sifat kedua penulisan, bahawa ia tidak boleh berdiri berseorangan kerana akan dieksploitasi oleh golongan berkepentingan dan berkuasa.

Sebab itu, antara revolusi orang awam yang berjaya adalah Martin Luther menggunakan teknologi pencetakan Gutenberg untuk membawa teks agama kepada orang ramai supaya tidak ditindas oleh sang penguasa.

Di era digital ini, ya, kita ada banyak penulisan di laman web, tetapi ia hanya wujud selagi mana laman web itu hidup.

Banyak penulisan saya sendiri yang hilang akibat kematian server laman web. Kalau tidak kerana usaha Internet Archive melalui Wayback Machine, kita mungkin sudah hilang majoriti penulisan lama di internet.

Pada masa yang sama, arkib Internet Archive juga tidak sempurna kerana ada bahasa dan rantau di luar fokus mereka.

Seperti sifat pertama, kita juga boleh simpulkan intipati sifat itu bahawa belambakan dan pengarkiban penulisan adalah lawan kepada sang penindas, atau secara kecil, si dia yang cuba kelirukan orang ramai.

Maka, apakah takdir penulisan di masa hadapan?

Adakah ia akan digantikan dengan konsep lain sepertimana penulisan menggantikan penghafalan pada suatu masa dahulu?

Adakah fantasi pengusaha AI-LLM untuk menggantikan akal pemikiran manusia akan berjaya?

Adakah kita akan bertukar ilmu melalui medium emoji dan meme pula?

Entahlah, tetapi yang saya yakin adalah selagi kita semua menulis dengan teliti, cermat, dan bersengaja pada setiap simbol, garis, dan titik; selagi itu, penulisan akan dapat melaksanakan intipati kedua-dua sifat penulisan dalam meneruskan dan menguatkan pemikiran manusia.

C’est la vie.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *