KUALA LUMPUR — Malam penuh penghormatan buat Tokoh Wartawan Negara, Adibah Amin, menyaksikan solidariti luar biasa daripada penggiat media dan sastera apabila hampir RM100,000 berjaya dikumpul bagi menyokong keperluan perubatan jangka panjang beliau.
Program Adibah Amin Tribute Night yang berlangsung di The Majestic Hotel Kuala Lumpur malam tadi diserikan dengan kehadiran Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff, yang merasmikan pelancaran buku As I Was Passing (Legacy Edition).
Edisi khas ini menghimpunkan kolum-kolum ikonik Adibah, lengkap dengan foto yang belum pernah diterbitkan serta tandatangan peribadi beliau, dan diterbitkan secara terhad kepada 1,000 naskhah sahaja.
Majlis berprestij itu turut menghimpunkan nama-nama besar dunia kewartawanan negara, termasuk Tan Sri Johan Jaafar, Datuk Abdul Kadir Jasin dan Datuk Seri Wong Chun Wai, yang hadir menyatakan sokongan kepada figura yang mesra yang juga dikenali sebagai Sri Delima.
Kini berusia 90 tahun, Adibah Amin sedang berdepan cabaran kesihatan yang serius.
Malam penghargaan itu bukan sekadar mengangkat jasa beliau, malah menjadi wadah memastikan beliau terus menerima rawatan dan penjagaan yang sewajarnya.
Lebih 500 tetamu hadir memeriahkan acara, sekali gus mencerminkan penghargaan mendalam terhadap sumbangan beliau yang telah membimbing dan mencorakkan generasi wartawan tanah air.
Sepanjang kerjayanya, Adibah dikenali sebagai penulis, pengarang dan penterjemah prolifik yang menguasai bahasa Melayu dan Inggeris dengan cemerlang.
Ketajaman pemikiran serta gaya penulisannya yang santai dan bersahaja menjadikan karya-karyanya terus relevan merentas zaman.
Acara turut diserikan dengan tayangan video penghormatan daripada ahli keluarga, selain bacaan petikan kolum beliau oleh rakan-rakan lama yang mengimbau kembali keindahan karya serta keperibadian beliau.
Inisiatif ini mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak termasuk penaja lokasi, The Majestic Hotel Kuala Lumpur, serta penaja korporat seperti BRDB Developments, Kuala Lumpur Kepong Berhad dan RENG College.
Selain itu, sumbangan perseorangan, termasuk yang memilih untuk kekal rahsia, turut memainkan peranan besar dalam menjayakan kutipan dana tersebut.
Malam ini juga dilihat sebagai jambatan penting yang memperkenalkan semula legasi Adibah kepada generasi muda, khususnya wartawan baharu yang mungkin kurang mengenali sumbangan besar beliau dalam dunia kewartawanan dan kesusasteraan negara.
Orang ramai yang ingin terus menyumbang bagi menyokong keperluan perubatan Adibah Amin boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank El Edge Resources, nombor akaun 5127 5460 9073.












