KUALA LUMPUR — Kurang 10 hari menjelang penganjuran Kota Baca 2026, persiapan bagi acara literasi kebangsaan itu kini memasuki fasa akhir dengan pelbagai pengisian menarik menanti pengunjung dari 23 hingga 26 April ini.
Program bersempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia itu diterajui oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan pelaksanaan oleh Perbadanan Kota Buku (PKB) sebagai sebahagian usaha memperkukuh budaya membaca dalam kalangan rakyat.
Kota Baca 2026 dirangka untuk menjadikan membaca sebagai norma sosial, selari dengan aspirasi Malaysia Madani serta menyokong pelaksanaan Dekad Membaca Kebangsaan 2021–2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan masyarakat berilmu dan berdaya saing.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dijadual menyempurnakan pelancaran sambutan peringkat kebangsaan pada 23 April di Perpustakaan Kuala Lumpur.
Acara itu turut menampilkan pelancaran Papan Pemuka Peta Malaysia Membaca serta program bacaan serentak “Jom Baca Bersama” selama 10 minit di seluruh negara.
Bermula 24 hingga 26 April, Dataran Merdeka akan menjadi lokasi utama penganjuran dengan pelbagai aktiviti berlangsung dari seawal pagi hingga malam, merangkumi program literasi, komuniti dan penglibatan industri buku dalam satu ekosistem yang inklusif.
Antara acara utama yang dijadualkan termasuk khutbah khas mengenai kepentingan membaca di masjid-masjid Wilayah Persekutuan, program BukaBuku bersama komuniti Keretapi Sarong, Pidato Negarawan, serta Larian Karakter Buku 5KM.
Salah satu tarikan utama ialah Himpunan Tukar Buku Terbesar di Asia Tenggara yang akan berlangsung pada malam 25 April, di mana orang ramai digalakkan membawa buku sendiri untuk ditukar dalam suasana interaktif mengikut genre.
Sepanjang tiga hari penganjuran, pengunjung juga boleh meneroka lebih 100 reruai jualan dan pameran buku, menyertai Kelah Buku berskala nasional, mengikuti sesi audio siar secara langsung, serta bertemu penulis, ilustrator dan tokoh sastera.
Acara ini turut menampilkan kehadiran Sasterawan Negara Dato’ Sri A. Samad Said bersama barisan penulis dan personaliti seperti Hilal Asyraf dan Lavina Jacinta yang aktif mempromosikan budaya membaca.
Selain itu, pengunjung berpeluang mengikuti perkembangan teknologi melalui Hentian Pintar AI yang menampilkan perkongsian daripada Google serta pakar kecerdasan buatan, Nadio Granata berkaitan peranan AI dalam dunia perbukuan.
Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Adibah Omar berkata Kota Baca 2026 merupakan usaha kolektif untuk melahirkan pembaca baharu secara berterusan merentas pelbagai lapisan masyarakat.
“Fokus utama kita adalah membina ekosistem membaca yang mampan dan inklusif, selari dengan aspirasi negara,” katanya.
Orang ramai dijemput hadir ke Dataran Merdeka bagi merasai sendiri kemeriahan acara yang berlangsung sepanjang hari, di samping menikmati pelbagai promosi jualan buku termasuk di platform Book Capital dan TikTok Shop.
Kota Baca 2026 dilihat sebagai antara usaha berterusan ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara membaca menjelang tahun 2030, dengan pembudayaan ilmu sebagai teras pembangunan masa hadapan.












