Tokoh Wartawan Negara angkat keistimewaan Adibah Amin sebagai wartawan-sasterawan

Asiwaspassing

KUALA LUMPUR — Dua Tokoh Wartawan Negara, Datuk Abdul Kadir Jasin dan Tan Sri Johan Jaaffar, menyifatkan Adibah Amin sebagai figura luar biasa dalam dunia kewartawanan dan kesusasteraan negara, khususnya kerana keupayaannya menulis dalam dua bahasa serta merentas pelbagai bidang seni.

Berkongsi pandangan sempena program Adibah Amin Tribute Night malam tadi, Abdul Kadir Jasin menyifatkan Adibah sebagai wartawan-sasterawan yang prolifik, kreatif dan penuh bakat seni.

“Adibah ialah seorang wartawan-sasterawan yang sangat prolifik dan kreatif. Beliau memiliki bakat dan jiwa seni yang tinggi.

“Saya pernah menulis di bawah beliau ketika di Berita Harian, dan kemudiannya beliau pula menulis di bawah saya ketika saya menjadi pengarang di New Straits Times,” katanya.

Menurut beliau, keistimewaan Adibah terletak pada keupayaannya menulis dalam bahasa Melayu dan Inggeris, sekali gus membolehkannya menjangkau pelbagai lapisan masyarakat.

“Sebagai seorang Melayu yang mampu menulis dalam dua bahasa, beliau mempunyai audiens yang luas merentasi kaum dan peringkat masyarakat.

“Tambahan pula, beliau juga seorang guru, pelakon filem dan pelakon radio. Ini menjadikan beliau satu watak yang sangat istimewa dalam dunia seni budaya dan kewartawanan negara.

Kita seharusnya terus membaca dan menghayati semula tulisan-tulisan beliau,” ujarnya.

Sementara itu, Johan Jaaffar pula melihat Adibah dalam konteks tradisi besar persuratan Melayu yang memperlihatkan hubungan rapat antara dunia kewartawanan dan kesusasteraan.

“Dalam tradisi persuratkhabaran Melayu, memang ramai wartawan yang sebenarnya sasterawan, dan ramai juga sasterawan yang merupakan wartawan.

“Dalam sejarah kesusasteraan Melayu, terdapat dua kategori utama, iaitu sasterawan-guru dan sasterawan-wartawan,” jelasnya.

Beliau menghuraikan bahawa kelompok sasterawan-guru diwakili oleh tokoh seperti Shaharom Hussain, manakala sasterawan-wartawan pula merangkumi nama-nama besar seperti A. Samad Ismail, A. Samad Said dan Keris Mas.

“Adibah Amin berada dalam kategori sasterawan-wartawan, namun beliau lebih unik kerana pernah menjadi guru. Walaupun begitu, beliau lebih dikenali sebagai wartawan dan sasterawan,” katanya.

Tambah beliau, kelebihan Adibah sebagai penulis dwibahasa menjadikannya antara tokoh yang jarang ditemui dalam masyarakat.

“Tidak ramai dalam kalangan kita yang mampu menulis dengan baik dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

“Ini menjadikan beliau seorang sasterawan yang unik dan istimewa. Novel beliau, Seroja Masih di Kolam, pada pandangan saya merupakan karya yang agak underrated tetapi sangat bermakna,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa sumbangan besar Adibah dalam kewartawanan diiktiraf apabila beliau dianugerahkan gelaran Tokoh Wartawan Negara, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara figura penting dalam sejarah media dan kesusasteraan tanah air.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *