Joe Flizzow kenang jasa Adibah Amin, akui peranan besar dalam membentuk jati diri bahasa

Joe2

KUALA LUMPUR — Rapper terkenal tanah air, Joe Flizzow, berkongsi kisah peribadi yang menyentuh hati mengenai jasa Adibah Amin dalam memperkasa penguasaan bahasa Melayu beliau.

Menurut Joe, segalanya bermula ketika beliau berada di tingkatan lima, apabila ibunya menyedari potensi yang boleh dipertingkatkan dalam penguasaan bahasa Melayu, lalu memohon bantuan Adibah untuk membimbingnya secara peribadi.

“Saya masih ingat, masa tingkatan lima, penguasaan bahasa saya tidaklah sehebat sekarang.

“Ibu saya melihat keputusan peperiksaan saya dan merasakan saya boleh dipertingkatkan.

Jadi, beliau meminta bantuan Cikgu Adibah untuk mempertimbangkan saya sebagai pelajar kelas tambahan,” katanya ketika ditemui dalam program Adibah Amin Tribute Night di Majestic Hotel Kuala Lumpur malam tadi.

Mengimbau kenangan itu, Joe berkata beliau sanggup berulang-alik dari Subang Jaya ke Taman Tun Dr. Ismail setiap hujung minggu demi menghadiri kelas tambahan di rumah Adibah.

“Setiap hujung minggu saya akan ke rumahnya di Taman Tun Dr. Ismail. Saya datang dari Subang Jaya, agak jauh juga sebenarnya.

“Biasanya orang ambil kelas tambahan dekat dengan rumah, tetapi bagi saya, usaha itu sangat berbaloi,” ujarnya.

Menurutnya, bimbingan Adibah bukan sahaja meningkatkan keupayaan bahasa, malah menanam kecintaan mendalam terhadap keindahan sastera Melayu.

“Bukan sahaja saya menjadi lebih baik, malah saya jatuh cinta dengan bahasa Melayu.

“Cikgu Adibah banyak membantu memperkasakan bahasa saya dan memperkenalkan saya kepada keindahan syair, sajak, pantun, novel dan sebagainya,” katanya.

Joe turut menyifatkan pengalaman itu sebagai antara asas penting dalam perjalanan seninya sebagai seorang rapper, yang menurutnya sangat berkait rapat dengan puisi.

“Saya akan sentiasa berterima kasih kepada Cikgu Adibah.

“Tanpa saya sedari ketika itu, saya akhirnya menjadi rapper sepenuh masa.

“Saya juga melihat diri saya sebagai seorang penyair, kerana lirik datang terlebih dahulu sebelum kita naik ke pentas.

“Rap itu sendiri adalah gabungan ritma dan puisi,” katanya.

Beliau mengakhiri perkongsian dengan doa agar Adibah yang juga Tokoh Wartawan Negara itu diberikan kesembuhan.

“Terima kasih, Cikgu Adibah. Saya doakan cikgu cepat sembuh dan insya-Allah kita dapat bertemu lagi,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *