Randai Macbeth kembali gegar ASWARA Mei ini

Randaimachbethaswara

KUALA LUMPUR — Selepas mencipta kejayaan besar pada pementasan sulungnya dua tahun lalu, Randai Macbeth kini kembali ke pentas apabila ia akan dipentaskan semula di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dari 8 hingga 10 Mei 2026.

Pementasan anjuran Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA) ASWARA dengan kerjasama Persatuan Alumni ASWARA ini akan berlangsung di Panggung Eksperimen sebagai sebahagian daripada pengisian Festival Buka Panggung ASWARA.

Kembalinya produksi ini adalah atas permintaan ramai, dengan barisan karyawan dan pelakon asal dikekalkan bagi mengekalkan kekuatan artistik yang telah mengangkat karya ini sebelum ini.

Randai Macbeth pertama kali dipentaskan pada Oktober 2024 dan mencatat sejarah tersendiri apabila memenangi lapan kategori dalam BOH Cameronian Arts Awards ke-20.

Antara anugerah yang diraih termasuk Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pengarah Muzik Terbaik, Ensemble Terbaik serta Rekaan Kostum, Solekan dan Gaya Terbaik.

Lebih membanggakan, produksi ini turut dinobatkan sebagai Produksi Terbaik 2024, iaitu anugerah tertinggi dalam acara tersebut.

Mengangkat karya klasik William Shakespeare, pementasan ini menampilkan pendekatan teater silang budaya (intercultural theatre) dengan mengadaptasi Macbeth ke dalam bentuk randai—seni persembahan tradisional Melayu yang berakar dari Minangkabau di Sumatera Barat, Indonesia dan berkembang dalam kalangan masyarakat Minangkabau serta Melayu di Malaysia.

Melalui pendekatan ini, naratif tragedi klasik tersebut diolah dengan nuansa tempatan, menjadikannya lebih dekat dengan konteks budaya serantau tanpa menghilangkan kekuatan dramatiknya.

Randai Macbeth mengisahkan tentang seorang pahlawan bernama Macbeth yang menerima ramalan daripada ahli sihir bahawa dia bakal menjadi raja.

Didorong oleh cita-cita dan ketamakan, isterinya, Lady Macbeth, merancang pembunuhan raja yang singgah di kediaman mereka.

Namun, perbuatan tersebut akhirnya menghantui kehidupan mereka berdua, membawa kepada kehancuran moral dan psikologi.

Pementasan ini menampilkan barisan pelakon berpengalaman termasuk Che Kem sebagai Macbeth dan Juhara Ayub sebagai Lady Macbeth, selain turut diarahkan oleh Profesor Madya Dr. Norzizi Zulkifli.

Orang ramai yang berminat untuk menyaksikan produksi pemenang anugerah ini boleh mendapatkan tiket yang kini telah mula dijual melalui platform CloudJoi di pautan:
https://www.cloudjoi.com/shows/5434-randai-macbeth

Dengan gabungan estetika tradisional dan teks klasik dunia, Randai Macbeth sekali lagi dijangka menjadi antara produksi teater yang wajib ditonton tahun ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *