KUALA LUMPUR — Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengambil keputusan menghentikan siaran siri animasi Cleopatra in Space selepas menerima beberapa aduan daripada penonton berhubung kandungannya.
Siri animasi tersebut sebelum ini disiarkan di saluran TV2 pada 18 dan 19 April lalu, masing-masing pada pukul 9.00 pagi.
Menurut maklum balas yang diterima, antara kebimbangan yang dibangkitkan oleh orang ramai adalah kewujudan adegan yang didakwa mempunyai unsur yang dilihat sebagai mempromosikan LGBT, sekali gus mencetuskan perdebatan dalam kalangan penonton.
Dalam kenyataannya hari ini, RTM memaklumkan bahawa tindakan menghentikan siaran dibuat sebagai langkah segera susulan aduan tersebut.
Pada masa sama, satu siasatan dalaman yang menyeluruh kini sedang dijalankan bagi meneliti isu yang dibangkitkan.
RTM menegaskan bahawa sebagai stesen penyiaran awam negara, pihaknya sentiasa komited untuk memastikan setiap kandungan yang disiarkan memenuhi piawaian kualiti serta mematuhi sensitiviti masyarakat, agama dan norma budaya tempatan.
“RTM sentiasa berpegang teguh kepada prinsip menyediakan kandungan program yang berkualiti, selamat dan sesuai untuk tontonan umum,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, RTM turut merakamkan penghargaan kepada penonton yang prihatin dan aktif menyalurkan maklum balas.
Maklum balas tersebut, menurut RTM, amat penting dalam usaha berterusan meningkatkan mutu serta kandungan siaran stesen penyiaran berkenaan.











