ASWARA anjur Artskap 2026, festival seni lebih interaktif dan inklusif

Artskap

KUALA LUMPUR — Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) sekali lagi membuka pintunya kepada masyarakat menerusi penganjuran ASWARA Artskap 2026, sebuah program hari terbuka yang kini tampil dengan nafas baharu berkonsepkan festival seni kota yang lebih segar, inklusif dan interaktif.

Program yang berlangsung di kampus ASWARA pada 9 Mei ini dari jam 9.00 pagi hingga 10.00 malam, terbuka kepada orang ramai secara percuma, menawarkan pelbagai pengalaman seni yang dinamik serta peluang mendekati dunia seni, budaya dan warisan secara lebih dekat.

Mengangkat konsep zon interaktif SKAP, pengunjung berpeluang meneroka pelbagai disiplin seni melalui lapan zon utama, antaranya Skap Pentas yang menampilkan persembahan teater, muzik dan tari secara langsung; Skap Studio melalui sesi demonstrasi seni; serta Skap Karya yang menawarkan bengkel dan masterclass kepada peserta.

Selain itu, Skap Bicara menghimpunkan sesi diskusi bersama panel industri, manakala Skap Market mengetengahkan jualan produk seni, makanan dan kraftangan tempatan.

Aktiviti senam seni pula diadakan menerusi Skap Pulse, di samping Skap Legasi yang membuka ruang kepada sesi temu duga kemasukan pelajar baharu serta ujibakat pementasan seni.

Pengunjung juga boleh menikmati pengalaman tontonan menerusi Skap Layar yang menampilkan konsep wayang pacak dan tayangan filem tempatan.

Menurut pihak penganjur, ASWARA Artskap bukan sekadar hari terbuka, sebaliknya berfungsi sebagai platform yang meraikan kepelbagaian seni serta menggalakkan interaksi antara penggiat seni, pelajar dan masyarakat umum.

Pendekatan festival seni urban ini juga dilihat mampu memperkukuh apresiasi terhadap seni dan budaya tempatan, selain menjadikan ASWARA sebagai ruang terbuka yang lebih dekat dengan masyarakat.

Penganjuran kali ini turut memperlihatkan kerjasama strategik bersama rakan industri seperti Festival Kuala Lumpur dan Think City, sekali gus menyokong usaha memperkasa ekosistem industri kreatif negara.

Dalam masa sama, penglibatan Sukarelawan Seni yang terdiri daripada golongan belia menjadi antara pengisian penting program ini.

Inisiatif tersebut bukan sahaja memupuk semangat kesukarelawanan, malah berperanan memartabatkan seni budaya dalam kalangan generasi muda.

Orang ramai dijemput hadir bersama keluarga dan rakan-rakan untuk merasai sendiri pengalaman seni yang unik ini, di samping mengenali dengan lebih dekat peranan ASWARA sebagai institusi peneraju pendidikan seni budaya dan warisan di Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *