PUTRAJAYA — Malaysian Book Publishers Association memaklumkan bahawa satu sesi libat urus bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mencapai beberapa persetujuan penting, termasuk jaminan tiada lagi operasi rampasan buku serta komitmen untuk menyemak semula judul-judul yang sebelum ini dikenakan perintah larangan.
Dalam kenyataanya pada Rabu, MABOPA menyatakan pertemuan tersebut diadakan bersama Bahagian Penguatkuasa dan Kawalan KDN bagi membincangkan isu larangan terhadap buku-buku terbitan ahli persatuan itu yang mencetuskan kontroversi sejak minggu lalu.
Delegasi MABOPA diketuai Presidennya, Sheikh Faisal Sheikh Mansor, bersama beberapa wakil lain termasuk setiausaha kehormat dan ahli jawatankuasa eksekutif.
Turut hadir wakil penerbit seperti Amir Muhammad dari Fixi, serta wakil Gerakbudaya dan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).
Menurut MABOPA, pihak penerbit telah melahirkan rasa kecewa terhadap perintah larangan yang dikenakan dan menggesa agar penilaian semula dilakukan terhadap buku-buku terbabit.
“Hasil daripada perjumpaan, pihak KDN memberi jaminan bahawa tiada lagi operasi rampasan buku dan akan menyemak semula buku-buku yang telah dikenakan perintah larangan,” katanya.
Selain itu, kedua-dua pihak turut bersetuju untuk meneliti cadangan penubuhan panel penilaian khas yang lebih menyeluruh, melibatkan pengarang, penerbit dan wakil industri bagi menentukan sama ada sesuatu buku wajar diharamkan.
MABOPA turut menyambut baik cadangan untuk mengadakan bengkel penerbitan bersama antara industri dan pihak berkuasa sebagai usaha mencari titik persefahaman.
Dalam jangka panjang, perbincangan itu turut menyentuh cadangan pindaan kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, termasuk memperkenalkan mekanisme rayuan bagi membolehkan penerbit atau pengarang mencabar keputusan larangan dalam tempoh tertentu melalui satu jawatankuasa khas.
Perkembangan ini berlaku susulan siri pengharaman beberapa buku baru-baru ini yang mencetuskan perdebatan meluas dalam kalangan penggiat industri buku dan masyarakat umum.
Terdahulu, KDN mengharamkan buku Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejimen ke-10 serta Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah.
Novel Sigandi karya M. Navin terbitan Fixi turut dikenakan larangan, diikuti buku terjemahan sejarah Mao Zedong: China dalam Dunia Abad ke-20 oleh IBDE.
Siri tindakan ini telah mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk ahli politik, penerbit dan organisasi seperti PEN Malaysia, yang menyuarakan kebimbangan terhadap kebebasan penerbitan dan ketelusan proses pengharaman.
Sehubungan itu, MABOPA berharap hasil libat urus bersama KDN ini dapat membuka ruang kepada pendekatan yang lebih telus, inklusif dan berakauntabiliti dalam menangani isu penerbitan pada masa hadapan.











