Lat, Fatimah Abu Bakar sanjung keperibadian Adibah Amin

Lat Fatimah

KUALA LUMPUR — Lat dan pelakon veteran Fatimah Abu Bakar menzahirkan penghargaan mendalam terhadap Adibah Amin, menyifatkan tokoh tersebut sebagai figura luar biasa yang sukar ditandingi dalam dunia penulisan dan kemanusiaan.

Berkongsi pandangan sempena Adibah Amin Tribute Night, Lat atau nama sebenarnya Seniman Diraja Dato’ Mohammad Nor Mohammad Khalid mengimbau kegemilangan Adibah sejak era 1960-an lagi.

“Adibah Amin sudah begitu popular sejak penghujung 1960-an dan awal 1970-an.

“Menjelang 1980-an, beliau benar-benar menonjol sebagai penulis yang luar biasa.

“Kebolehannya menarik hati pembaca dalam bahasa Melayu dan Inggeris sukar ditandingi,” katanya ketika ditemui Titik Baca dalam majlis Adibah Amin Tribute Night pada Ahad.

Menurut beliau, kekuatan penulisan Adibah dapat dirasai sehingga hari ini apabila karya-karyanya dibaca semula.

“Jika kita membaca semula karya beliau hari ini, kita akan faham mengapa beliau begitu dikenali.

“Saya sendiri sempat mengikuti rencana-rencananya dalam akhbar suatu ketika dahulu, dan beliau menulis dengan sangat terperinci serta penuh penghayatan.

“Carilah buku-buku beliau kerana di situlah kita boleh belajar banyak perkara,” jelasnya.

Sementara itu, Fatimah Abu Bakar pula menekankan sisi peribadi Adibah yang disifatkan sebagai seorang mentor dan insan yang sangat tulus.

“Saya memanggil beliau ‘Akak Adib’ kerana kami pernah bekerja bersama di New Straits Times.

“Bagi saya, segala gelaran dan pujian yang diberikan kepadanya memang tepat.

“Namun lebih daripada itu, beliau adalah seorang mentor, seorang kakak dan seorang manusia yang jujur, kreatif serta unik. Tidak ada dua Adibah Amin,” katanya.

Beliau turut mengajak masyarakat untuk terus mendoakan kesihatan tokoh berkenaan.

“Saya berharap kita semua dapat terus mendoakan agar beliau pulih dan kembali sihat. Apa pun, bagi saya, Adibah Amin adalah seorang true Malaysian,” katanya.

Penghargaan daripada dua tokoh seni ini sekali lagi menegaskan kedudukan Adibah Amin bukan sahaja sebagai ikon kewartawanan dan kesusasteraan, tetapi juga sebagai insan yang meninggalkan kesan mendalam dalam kehidupan ramai, merentas bidang dan generasi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *