KUALA LUMPUR — Bekas Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail, hari ini secara rasmi dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia berkuat kuasa Isnin, menggantikan Datuk Suhaimi Sulaiman yang menamatkan perkhidmatannya pada Jumaat lalu.
Pelantikan itu diumumkan oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, yang turut mengumumkan Dr. Sharifah Adlina Syed Abdullah dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia.
Fahmi dalam satu kenyataan rasmi menyifatkan kepimpinan baharu itu sebagai satu langkah penting untuk memperkukuh industri penyiaran negara.
“Selamat datang ke keluarga Kementerian Komunikasi! Tahniah dan selamat menjalankan amanah kepada Ketua Pengarah Penyiaran yang baharu, saudara Ashwad Ismail serta Timbalan Ketua Pengarah, Dr. Sharifah Adlina Syed Abdullah.
Semoga kepimpinan yang dibawa terus memperkukuh industri penyiaran negara, memacu inovasi serta menyampaikan maklumat yang sahih dan berintegriti demi kesejahteraan rakyat,” kata Fahmi dalam hantaran di Facebooknya hari ini.
Ashwad, 40, merupakan figura terkenal dalam dunia media dan penyiaran. Beliau telah berkhidmat hampir 19 tahun di Astro AWANI, termasuk lima tahun sebagai Ketua Pengarang — peranan yang mempengaruhi arah editorial dan standard berita organisasi tersebut.
Beliau bukan sahaja dikenali sebagai wartawan dan editor berpengalaman, tetapi juga turut aktif dalam komuniti media antarabangsa. Antara pengalaman beliau termasuk; Presiden Malaysia-Indonesia Journalists Association (ISWAMI) untuk penggal 2023–2025, platform kerjasama profesional media antara Malaysia dan Indonesia; Peserta Global Sumud Flotilla 2010; Memegang Ijazah Sarjana Muda Sains Politik, Universiti Utara Malaysia (UUM) serta Diploma Pengurusan Penyiaran dari Malaysia Institute of Integrative Media; dan Senior Fellow in Public Service di Lee Kuan Yew School of Public Policy dan Profesor Madya di Universiti Islam Selangor.
Pelantikan Ashwad menerima reaksi positif ramai pihak dalam sektor media.
Rata-rata pengguna media sosial dan pengamal media menyambut baik idea pembaharuan dan aspirasi transformasi yang dibawa beliau ke dalam sistem penyiaran negara, dengan harapan bahawa peranan RTM akan terus relevan di era digital yang serba mencabar.













