KUALA LUMPUR — Konsert sulung penyanyi Nourul berjudul For You Nourul yang sebelum ini dijadualkan berlangsung pada 17 April 2026 ditunda ke tarikh baharu, iaitu 30 Mei 2026.
Penjadualan semula itu dibuat bagi memastikan kualiti penganjuran terbaik serta memberi kepuasan maksimum kepada peminat, selain mengambil kira beberapa pertimbangan penting menjelang penganjuran konsert berkenaan.
Menurut wakil penganjur, ND Entertainment, keputusan menukar tarikh dibuat hasil perbincangan bersama Nourul, antaranya bagi menghormati dua perayaan utama umat Islam, Aidilfitri dan Aidiladha.
“Pemilihan tarikh 30 Mei 2026 juga dilihat lebih sesuai kerana memberi ruang kepada peminat menyusun semula bajet selepas musim perayaan. Kami mahu For You Nourul diraikan dalam suasana yang lebih selesa dan meriah,” kata wakil penganjur itu dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Ab. Wahab berkata penukaran tarikh berkenaan turut memberi kelebihan dari segi perancangan produksi serta penyusunan barisan artis jemputan.
“Penukaran ini dibuat selepas proses perbincangan bagi mencapai kata sepakat untuk menyusun semula jadual perjalanan konsert, susulan pertukaran penganjur lama kepada syarikat saya sendiri,” jelasnya.
Penyanyi yang popular dengan lagu Kerana Terluka itu kekal optimis konsert solo berkenaan akan mendapat sambutan hangat dan menjadi momen istimewa selepas lebih tiga dekad penglibatannya dalam industri muzik tanah air.
Konsert For You Nourul akan berlangsung pada 30 Mei 2026, jam 8 malam di Zepp Kuala Lumpur.
Tiket masih dijual mengikut kategori harga yang telah ditetapkan iaitu RM198 (Sehati Sejiwa), RM298 (Cinta Azali), RM328 (Keliru), RM388 (Kerana Terluka) dan RM6,000 (VIP Box), dan boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi Ticket2u.
Dengan tarikh baharu yang dimuktamadkan, peminat dinasihatkan mencatatkan temu janji istimewa itu bagi tidak terlepas peluang menyaksikan malam penuh emosi dan nostalgia bersama Nourul.












