Koleksi akhbar era Reformasi diserah kepada Arkib Negara

Dr. Muhaimin Sulam

IPOH — Sebahagian koleksi akhbar era Reformasi milik Dr. Muhaimin Sulam diserahkan kepada Arkib Negara Malaysia cawangan Ipoh bagi tujuan pemeliharaan dan penyelidikan sejarah negara.

Menurut perkongsian beliau di Facebook semalam, staf Arkib Negara Malaysia cawangan Perak hadir ke kediamannya untuk mengambil bahan-bahan berupa akhbar politik dan arus perdana, termasuk koleksi Harakah dan Suara Keadilan.

Muhaimin memaklumkan, koleksi Harakah yang diserahkan merangkumi edisi dari Januari 2000 hingga 2015, namun tidak lengkap dan sebahagiannya berada dalam keadaan tidak sempurna.

“Bukan lengkap dan ada yang tidak sempurna. Harakah keluaran 2006 hingga 2010 tiada kerana ketika itu saya tiada di tanah air. Beli Harakah sejak 90-an tetapi kesedaran untuk menyimpan hanya ada pada tahun 2000,” jelasnya.

Penyerahan ini, jelas beliau, merupakan peringkat awal, memandangkan masih terdapat timbunan dokumen dan bahan lain dalam simpanan peribadi yang sedang melalui proses penyusunan.

Selain itu, keratan akhbar yang memuatkan tulisan beliau sejak peringkat awal kerjaya juga masih belum diserahkan kepada pihak arkib.

Beliau berharap bahan-bahan tersebut dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang sebagai sumber penyelidikan serta medan untuk mengutip ibrah daripada sejarah yang pernah dilalui negara ini.

“Kini waktu memindah bahan dan artifak lama di rumah yang bersifat peribadi kepada arkib yang bersifat nasional,” jelasnya, sambil menzahirkan harapan agar khazanah tersebut dapat terus dipelihara, bukan sahaja di peringkat nasional malah antarabangsa.

Langkah ini dilihat sebagai satu usaha penting dalam memelihara memori kolektif era Reformasi dan memperkukuh sumber dokumentasi sejarah politik serta sosial Malaysia untuk jangka panjang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *