KUALA LUMPUR — Skim Dana Padanan MyCreative (SDP) 2026 kini dibuka kepada penggiat dan organisasi industri kreatif tempatan, dengan tarikh tutup permohonan pada 27 Mei 2026.
Program ini merupakan inisiatif pendanaan oleh Kerajaan Malaysia yang disampaikan menerusi MyCreative Ventures, dan diumumkan sebagai sebahagian daripada Belanjawan 2025 selaras dengan aspirasi ekonomi MADANI untuk merangsang serta memperkasa industri kreatif negara.
Menerusi skim ini, pemohon yang layak boleh menerima geran padanan 1-dengan-1 (1-to-1) sehingga jumlah maksimum RM250,000 berdasarkan dana tunai (cash funds) yang berjaya diperoleh bagi pembiayaan projek kreatif.
Geran ini terbuka kepada entiti berdaftar dalam sektor kreatif Malaysia.
Antara sektor yang menjadi fokus utama Skim Dana Padanan MyCreative ialah seni persembahan, seni visual, penggiatan semula kraf, muzik, kandungan kreatif digital serta seni multidisiplin atau merentas disiplin.
Walau bagaimanapun, permohonan daripada sektor kreatif lain yang termasuk dalam senarai tonggak kreatif MyCreative turut boleh dipertimbangkan sekiranya memenuhi kriteria dan tujuan asal program.
Menurut MyCreative, program ini bertujuan untuk menggalakkan kepelbagaian sumber pembiayaan bagi projek-projek kreatif, sekali gus mewujudkan ekosistem industri kreatif yang lebih lestari.
Dana yang disediakan juga menyokong penciptaan karya asli baharu yang berpotensi memberi impak jangka panjang serta mempunyai nilai komersial yang berdaya maju, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan perniagaan teras pemohon.
Antara objektif utama Skim Dana Padanan MyCreative adalah untuk memupuk penciptaan karya seni yang inovatif dan asli, menggalakkan hasil kreatif yang memberi manfaat kepada masyarakat tempatan serta memperkukuh perkongsian identiti budaya dan kebanggaan bersama.
Program ini juga menyasarkan sokongan kepada organisasi dan penggiat ekosistem kreatif untuk mengembangkan karya mereka ke pasaran baharu, memperluas jangkauan khalayak dan mempelbagaikan penawaran kreatif.
Selain itu, skim ini diharap dapat membantu merealisasikan projek-projek kreatif baharu yang berpotensi menjana impak ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan menyumbang secara signifikan kepada ekonomi kreatif negara.
Pemohon dikehendaki mengemukakan bukti dana padanan yang telah berjaya dikumpul semasa menghantar permohonan, sebagai salah satu syarat utama kelayakan menerima geran.
Maklumat lanjut berhubung syarat permohonan, kriteria kelayakan dan garis panduan penuh Skim Dana Padanan MyCreative 2026 boleh diperoleh menerusi saluran rasmi MyCreative.












