Kekosongan kepimpinan MBKM ketika fasa kritikal wajar diberi perhatian — Presiden Booktube Malaysia

KUALA LUMPUR — Kekosongan jawatan Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) ketika industri sedang membuat persiapan menuju Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (PBAKL 2026) menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemain industri buku.

Presiden Persatuan Booktube Malaysia, Hafiz Latiff berkata industri pada masa ini memerlukan kepimpinan berpengalaman bagi memastikan segala perancangan yang telah disusun dapat diteruskan tanpa gangguan.

“Berdasarkan situasi semasa, kita memang memerlukan individu yang berpengalaman untuk meneruskan perancangan yang telah dibuat. Bagi PBAKL misalnya, gerak kerja penganjurannya bukan dilakukan sehari sebelum acara, sebaliknya sudah dimulakan berbulan-bulan lebih awal,” katanya ketika ditemui media Titik Baca pada Jumaat.

Menurutnya, tempoh persaraan Mohd Khair berlaku pada saat yang cukup kritikal kerana penganjuran pesta buku terbesar negara itu semakin hampir.

“Tempoh Mohd Khair bersara ini sebenarnya sangat kritikal. Kita semua tahu dalam dua atau tiga bulan lagi PBAKL akan berlangsung, sedangkan banyak perancangan yang telah diusahakan sejak berbulan-bulan lalu,” katanya.

Hafiz berpandangan, sekiranya berlaku peralihan kepimpinan secara mendadak dalam tempoh tersebut, ia berpotensi menjejaskan kelancaran gerak kerja yang telah disusun.

“Jika peralihan kepimpinan berlaku dalam tempoh yang kritikal seperti ini, saya bimbang ia boleh mengganggu kelancaran gerak kerja yang sedang berjalan,” katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui perubahan kepimpinan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam mana-mana institusi, namun perlu dirancang dengan teliti bagi memastikan kesinambungan kepimpinan.

“Hidup perlu diteruskan dan legasi kepimpinan juga perlu difikirkan. Mereka yang membina legasi perlu memikirkan siapa yang boleh diketengahkan sebagai pemimpin baharu pada masa hadapan,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap jurang kepimpinan dalam industri buku yang disifatkan agak besar antara tokoh sedia ada dengan generasi penerus.

“Salah satu keresahan dalam industri buku ialah jurang kepimpinan yang agak jauh. Contohnya jika Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka bersara, bukan mudah untuk mencari pengganti yang mempunyai kredibiliti setanding,” katanya.

Menurut Hafiz, perkara yang sama juga boleh berlaku dalam kepimpinan MBKM kerana Mohd Khair telah meletakkan penanda aras yang tinggi sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Beliau telah membina satu legasi dan meninggalkan penanda aras yang tinggi. Jadi persoalannya sekarang ialah siapa yang mampu sekurang-kurangnya menyamai apa yang telah beliau lakukan,” katanya.

Sehubungan itu, Hafiz mencadangkan agar dalam masa yang sama kepimpinan sedia ada diteruskan buat sementara waktu, usaha membina barisan pemimpin baharu juga perlu diberi perhatian.

“Apa yang penting ialah kesinambungan kepimpinan. Dalam masa yang sama seseorang pemimpin itu diteruskan peranannya, beliau juga perlu menggilap pemimpin-pemimpin baharu untuk meneruskan legasi pada masa akan datang,” katanya.

Sebelum ini, Mohd Khair mengumumkan tamatnya tempoh perkhidmatannya sebagai Pengarah MBKM selepas enam tahun menerajui institusi berkenaan.

Dalam satu hantaran di Facebook, beliau memaklumkan bahawa kontrak penggal ketiganya bersama MBKM berakhir serentak dengan genap enam tahun kepimpinannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *