KUALA LUMPUR — Pengasas kumpulan MonoloQue, LoQue mengimbas kembali kisah di sebalik penciptaan lagu Rindu Dendam Hari Raya yang pertama kali dilancarkan pada Hari Raya Aidilfitri 2025.
Sempena Aidilfitri tahun ini, LoQue atau nama sebenarnya Khairil Ridzwan Anuar, buat pertama kali berkongsi secara terbuka tentang proses kreatif di sebalik penghasilan lagu tersebut, yang menurutnya lahir secara spontan tanpa perancangan awal.
Menurut beliau, lagu berkenaan tidak ditulis seperti kebanyakan lagu raya yang biasanya disiapkan lebih awal sebelum Ramadan.
“Rindu Dendam Hari Raya dihasilkan secara spontan dan mendesak. Saya tabik hormat kepada komposer yang mampu menghasilkan lagu raya hanya seminggu selepas masuk Ramadan.
Bagi saya, untuk menghasilkan lagu raya yang benar-benar tulus, saya perlu merasai dan menghayati Ramadan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menjelaskan bahawa lagu tersebut disiapkan pada saat-saat akhir menjelang Aidilfitri, termasuk penerbitan muzik videonya.
“Memang kena buat saat akhir, malam raya baru keluar muzik video. Itulah azimatnya, biar lagu ini bukan sekadar ikut musim, tetapi kekal sampai bila-bila,” katanya lagi.
Dari segi susunan muzik, lagu itu menggabungkan instrumen tradisional seperti rebana dan gendang bersama piano serta biola, menghasilkan nuansa yang sayu dan menyentuh emosi, sekali gus mengimbau nostalgia suasana takbir raya.
Menurut LoQue, pendekatan itu dipilih kerana beliau percaya lagu raya tidak semestinya hanya berunsur ceria dan rancak.
“Walaupun lagu raya perlu meriah, lagu raya juga perlu syahdu dan sayu. Sayu mungkin lembut, tetapi tidak bermakna lembik,” katanya.
Menariknya, lagu tersebut turut mengandungi unsur penghormatan kepada biduan legenda era 1950-an dan 1960-an, R. Azmi.
LoQue berkata sebahagian melodi dalam lagu itu diinspirasikan daripada karya Allahyarham yang pernah membantunya keluar daripada kebuntuan kreatif pada tahun 2006.
Sebagai tanda penghargaan, judul “Rindu Dendam” diambil daripada sebuah lagu Allahyarham yang pernah wujud dengan nama sama.
Melalui pendekatan itu, lagu berkenaan turut menjadi usaha memperkenalkan kembali warisan muzik klasik Melayu kepada generasi baharu.
Ahli kumpulan turut berkongsi pengalaman mereka merakamkan lagu tersebut.
Pemain gendang, Bakri “Halia” Ismail, menyifatkan karya itu mempunyai roh tersendiri dengan bahasa klasik serta susunan muzik penuh jiwa yang diyakini mampu kekal malar segar.
Sementara itu, pemain rebana kumpulan berkenaan, Loko, berkata pengalaman merakam lagu itu memberikan kelainan kerana beliau berpeluang memainkan instrumen yang jarang diketengahkan dalam karya mereka sebelum ini.
Muzik video Rindu Dendam Hari Raya pula dirakam secara sederhana di rumah ibu bapa LoQue di Gelampuri dengan hanya satu kamera, namun sarat dengan elemen kekeluargaan dan simbolisme emosi.
Video tersebut turut menampilkan sahabat lama LoQue, Emmett Roslan daripada kumpulan Butterfingers, selain ibu bapa, isteri serta anak-anak LoQue sendiri.
Sejak dimuat naik tahun lalu, muzik video rasmi lagu berkenaan di saluran YouTube cataloQue telah meraih lebih 30,000 tontonan dan terus meningkat menjelang Aidilfitri tahun ini.
Rindu Dendam Hari Raya boleh didengari di platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music.













