KUALA LUMPUR — Datuk ’Ainu Sham Haji Ramli dilantik sebagai Rektor baharu Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) berkuat kuasa semalam.
Pelantikan beliau dibuat bagi menggantikan rektor terdahulu, Prof. Dr. Tan Awang Besar, yang mula berkhidmat pada 1 Julai 2024 sebelum menamatkan tugasnya pada 15 Disember 2025.
Tan kemudiannya menyambung perkhidmatan sebagai Ketua Pengarah di Jabatan Perumahan Negara, di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
’Ainu Sham, 57, bukanlah nama asing dalam sektor seni dan kraf negara.
Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, sebuah agensi penting dalam memartabatkan industri kraf tempatan.
Dari segi akademik, beliau memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian Kelas Kedua) daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Pelantikan ’Ainu Sham dijangka mampu memperkukuh peranan ASWARA sebagai institusi utama dalam melahirkan bakat seni dan budaya negara, selaras dengan keperluan industri kreatif yang semakin berkembang.












