PEN Malaysia dakwa corak penapisan sistematik susulan larangan novel Sigandi

Sigandi

Foto kredit media Kedai Fixi

KUALA LUMPUR — PEN Malaysia menyifatkan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan novel Sigandi karya M. Navin sebagai sebahagian daripada corak penapisan yang lebih luas, dan bukan sekadar keputusan pentadbiran terpencil.

Dalam satu kenyataan hari ini, pertubuhan itu menyatakan bahawa larangan terhadap Sigandi terbitan Fixi berlaku selepas dua buah buku berkaitan sejarah gerakan kiri turut diharamkan sebelum ini.

Pada 15 April, penerbit Strategic Information and Research Development Centre (SIRD) mengesahkan bahawa buku Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejimen ke-10 dan Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah dikenakan perintah larangan oleh KDN di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Menurut PEN Malaysia, perkembangan terbaharu melibatkan Sigandi menunjukkan satu pola yang membimbangkan, iaitu “penghapusan suara-suara yang mencabar naratif rasmi” secara senyap, tanpa perbahasan awam atau akauntabiliti yang jelas.

“Pengharaman buku bukan sekadar soal buku. Ia berkaitan siapa yang mengawal sejarah, siapa yang berhak menceritakan perjuangan dan suara siapa yang dianggap layak untuk didokumentasikan,” menurut kenyataan itu.

Pertubuhan tersebut menegaskan bahawa tokoh seperti Shamsiah Fakeh dan Komrad Asi adalah sebahagian daripada sejarah negara, manakala Sigandi pula merupakan karya sastera yang berakar dalam realiti tempatan.

Justeru, larangan terhadap karya-karya ini dilihat sebagai usaha menghadkan akses masyarakat kepada pelbagai perspektif.

PEN Malaysia turut mengkritik ketiadaan penjelasan terbuka daripada pihak KDN berhubung alasan pengharaman tersebut.

Mereka menyifatkan keadaan itu sebagai membimbangkan kerana tiada proses telus untuk mencabar keputusan, selain dakwaan bahawa tindakan diambil secara senyap tanpa pengumuman rasmi.

“Kedai buku disasarkan tanpa pengumuman, penulis tidak diberi ruang untuk membela diri, dan pembaca tidak diberikan penjelasan,” menurut kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, PEN Malaysia menggesa KDN supaya menarik balik larangan ke atas semua karya terlibat serta-merta, selain menuntut penjelasan yang jelas dan sah dari segi undang-undang bagi sebarang sekatan terhadap karya sastera.

Pertubuhan itu turut memaklumkan bahawa mereka telah memohon pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bagi menuntut ketelusan dan akauntabiliti dalam proses pengharaman buku.

Dalam masa sama, PEN Malaysia menegaskan bahawa kebebasan bersuara bukanlah satu keistimewaan yang diberikan oleh kerajaan, sebaliknya merupakan hak yang perlu dipertahankan.

Mereka juga berhasrat untuk mendesak pembentukan prosedur operasi standard yang jelas dan sah bagi mengawal sebarang sekatan terhadap karya sastera pada masa hadapan.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *