Teme Abdullah kolaborasi dengan Gempak Starz, Pelukis Jalanan diadaptasi ke versi komik

Teme

KUALA LUMPUR — Penulis prolifik tanah air, Teme Abdullah, mengumumkan satu pencapaian penting dalam kerjayanya apabila karya popular beliau, Pelukis Jalanan, bakal diadaptasi ke versi komik menerusi kolaborasi bersama Gempak Starz.

Menurut Teme, pengumuman ini hadir dengan rasa teruja bercampur segan, memandangkan beliau sendiri membesar dengan karya-karya terbitan syarikat tersebut.

Beliau mengimbau zaman persekolahan, di mana komik seperti Lawak Kampus, Under 18 dan Utopia menjadi bahan bacaan yang dipass dari tangan ke tangan dalam kalangan rakan-rakan.

“Dulu saya sendiri melukis komik berunsur dakwah, terinspirasi daripada kegemilangan Gempak Starz.

“Tak pernah terlintas karya pertama saya akan sampai ke tahap ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Adaptasi komik Pelukis Jalanan ini dijangka menemui pembaca pada Mei ini, dengan pelancaran rasmi dan pratempah bermula jam 9 malam, 1 Mei.

Selain edisi komik, dua keluaran khas lain turut akan diperkenalkan sempena ulang tahun ke-10 karya tersebut.

Teme turut menjelaskan bahawa versi komik ini bukanlah terjemahan langsung daripada buku asal, sebaliknya satu adaptasi kreatif.

Justeru, pembaca boleh menjangkakan beberapa perbezaan dari segi penceritaan, termasuk elemen baharu yang tidak terdapat dalam naskhah asal.

“Macam yang penerbit beritahu, ini bukan sekadar komikkan buku, tetapi adaptasi.

“Akan ada yang berbeza, dan ada juga yang baharu,” jelasnya lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para pembaca yang menyokong karyanya sejak awal, serta pasukan produksi yang bertungkus-lumus merealisasikan projek ini.

“Ramai yang bersekang mata dan memerah keringat untuk menjayakan versi komik ini.

“Saya harap ia dapat memberi manfaat dan menggembirakan semua, terutama pembaca terawal,” katanya.

Dalam masa sama, Teme turut memberi bayangan bahawa reka bentuk kulit komik tersebut akan didedahkan dalam masa terdekat, sambil menyifatkannya sebagai antara aspek yang paling dinantikan.

Kolaborasi ini dilihat sebagai satu langkah signifikan dalam memperluaskan capaian Pelukis Jalanan, sekali gus memperkukuh kedudukan Teme Abdullah sebagai antara penulis kontemporari yang berjaya merentasi pelbagai medium penceritaan.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *