Pertandingan Tukang Cerita hidupkan karya agung di Kota Baca 2026

7e005392 657c 4422 9bde 0a65340310e7

Para pemenang merakam kenangan bersama dengan Dr. Roosfa Hashim sebagai tanda ingatan sepanjang Pertandingan Tukang Cerita Karya Agung Melayu 2026.

KUALA LUMPUR — Pusingan akhir Pertandingan Tukang Cerita anjuran Yayasan Karyawan mencuri tumpuan pengunjung apabila berjaya menghidupkan kembali karya agung sastera Melayu dalam suasana penuh penghayatan di Dataran Merdeka, semalam.

Pertandingan yang merupakan antara pengisian reruai Yayasan Karyawan sempena Kota Baca 2026 itu menampilkan lima finalis yang mempersembahkan cerita masing-masing dengan gaya tersendiri, berasaskan teks klasik Melayu.

Para peserta dinilai dari segi penceritaan, penguasaan teks, gaya persembahan serta keaslian interpretasi.

Johan pertandingan dimenangi oleh Ainun Nasibah Johar menerusi persembahan “Burung Garuda dan Dua Anak Raja” yang diadaptasi daripada Hikayat Merong Mahawangsa.

Beliau membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta sijil penyertaan, selain turut merangkul anugerah Busana Terbaik yang melayakkannya menerima tambahan RM200.

Tempat kedua pula disandang oleh Nurul Fatihah Mohamad Ariff dengan persembahan “Setia yang Tidak Terbelah” daripada Hikayat Hang Tuah, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Muhammad Ukasyah Irfan Mat Rahimi menerusi “Antara Realiti dan Reformasi” yang diilhamkan daripada Hikayat Abdullah.

Dua hadiah sagu hati masing-masing diberikan kepada Mohamad Abu Hasan dan Anazlina Mat Jusoh.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Dr. Roosfa Hashim yang dalam ucapannya menegaskan bahawa penganjuran pertandingan ini bertujuan mendekatkan masyarakat dengan khazanah sastera klasik.

Menurut beliau, usaha tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen Yayasan Karyawan dalam memartabatkan karya agung Melayu serta menghidupkan tradisi penceritaan sebagai medium pendidikan dan pemasyarakatan ilmu.

Penganjuran pertandingan ini sekali gus memperlihatkan bagaimana Kota Baca 2026 bukan sahaja menjadi ruang jualan buku dan aktiviti literasi, tetapi turut mengangkat warisan sastera melalui pendekatan kreatif yang lebih segar dan dekat dengan masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *