Festival Kata PBAKL 2026 bakal himpun penulis ASEAN dan antarabangsa

Fkp2026 3

KUALA LUMPUR — Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan kerjasama Nusa Centre menganjurkan Festival Kata PBAKL 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bermula 4 hingga 7 Jun ini bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.

Festival yang julung kali diadakan itu dilihat sebagai satu usaha memperkukuh wacana sastera, budaya ilmu dan jaringan perbukuan serantau serta antarabangsa menerusi penglibatan penulis, penyair, penterjemah dan penggerak industri buku dari dalam serta luar negara.

Penganjuran Festival Kata PBAKL (FKP) 2026 turut menjadi ruang mempertemukan penulis dengan khalayak pembaca dalam suasana yang lebih dekat dan terbuka, selain meraikan PBAKL sebagai acara perbukuan paling berprestij di negara ini.

Menurut penganjur, PBAKL bukan sahaja menjadi platform perdagangan dan pemasaran buku, tetapi juga ruang penting untuk membina wacana kreatif dan intelektual dalam kalangan masyarakat.

Oleh itu, FKP diwujudkan bagi mengisi ruang tersebut melalui program forum, diskusi ilmu dan persembahan seni yang bersifat rentas budaya serta rentas negara.

FKP 2026 menghimpunkan penulis dan penggiat sastera dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Brunei, Korea Selatan dan Jepun.

Kehadiran tokoh-tokoh tersebut dilihat memperkukuh ciri antarabangsa PBAKL di samping membuka ruang pertukaran idea dan pengalaman dalam dunia kepengarangan dan perbukuan.

Majlis perasmian festival berlangsung pada 4 Jun di Pentas Utama WTC KL dan dijangka menjadi simbol sokongan terhadap pembangunan budaya ilmu, kreativiti dan kesusasteraan negara.

Festival empat hari

Festivalkata 4 5
Pengisian program pada 4 dan 5 Jun 2026.

Sepanjang empat hari festival berlangsung, pelbagai forum ilmiah diadakan dengan tema yang menyentuh hubungan sastera dengan sejarah sosial, suara wanita, naratif sejagat, industri perbukuan semasa, kepengarangan kontemporari dan dunia penterjemahan.

Forum pertama bertemakan Sastera & Sejarah Sosial berlangsung pada 5 Jun dengan moderator Mohd Nazmi Yaakub daripada Berita Harian.

Forum itu menampilkan Dr. Fahd Razy, Raiha Bahaudin, Abang Median Abang Said dan Farihan Bahron dari Singapura yang membincangkan hubungan karya sastera dengan pengalaman masyarakat dan sejarah sosial.

Pada sebelah petang hari sama, forum Puisi & Suara Wanita pula menghimpunkan penyair wanita dari pelbagai negara termasuk Yuki Nagae dari Jepun, Rossanee Nurfarida dari Thailand, Shivani Sivagurunathan dan Ainul Muayainah Sulaiman.

Forum itu dikendalikan Rebecca Ilham dan memberi tumpuan kepada suara serta pengalaman wanita dalam dunia puisi kontemporari.

Festivalkata6 7
Pengisian program pada 6 dan 7 Jun 2026.

Sementara itu, forum Sastera & Naratif Sejagat pada 6 Jun mengetengahkan perbincangan mengenai nilai universal dalam karya sastera menerusi penglibatan Lutfi Ishak, Hafizah Iszahanid, Agus Sarjono dari Indonesia dan Djohan Abdul Rahman dari Singapura dengan moderator Prof. Madya Dr. Ariff Mohamad.

Forum Lanskap Industri Perbukuan Terkini pula membincangkan cabaran serta perubahan dalam industri buku semasa melibatkan Ketua Eksekutif PTS Arief Hakim Sani, aktivis buku nadir Muhammad Nazreen Mohd Jafar, Abdul Razak Panaemalae dari Thailand dan H Mar dari Brunei Darussalam.

Golongan penulis muda turut diberikan ruang menerusi forum Kepengarangan & Kesenimanan Kontemporari yang menampilkan Haniff Zikri, Shield Sharan, Ilham Mazalan dan Osman Deen.

Forum itu dikendalikan Ahmad Muziru Idham dan memberi fokus terhadap perkembangan penulisan generasi baharu serta kecenderungan karya kontemporari.

Fk2026 Ahlipanel
Ahli panel yang mengambil bahagian dalam Festival Kata 2026.

Selain forum ilmiah, FKP 2026 turut menampilkan acara Persembahan Kata pada malam 6 Jun di Pentas Utama WTC KL.

Acara tersebut menggabungkan deklamasi puisi dan persembahan muzik tradisional serta kontemporari yang melibatkan penyair dari Malaysia dan luar negara.

Antara penyair yang mengambil bahagian ialah Zaen Kasturi, Ridzuan Harun, Jack Malik, Farihan Bahron, Kang Myoung Sook, Yuki Nagae, Agus Sarjono, H Mar, Razak Panaemalae dan Rossanee Nurfarida.

Persembahan turut diserikan dengan dendangan syair oleh Shafaatusara Silahudin bersama iringan biola dari Riau, persembahan seruling dan tabla oleh Malik Prakash, permainan er hu oleh Alam Lam serta gambus oleh Firlani Malik.

Festival diteruskan pada 7 Jun menerusi forum Terjemahan Menduniakan Sastera yang membincangkan peranan penterjemahan dalam membawa karya tempatan ke peringkat global.

Forum tersebut menampilkan Prof. Madya Dr. Kang Myoung Sook dari Korea, Dr. Boh Phaik Ean, Dali Fazuri dan Saravanan Satianandan.

Penganjur menyifatkan FKP 2026 sebagai usaha membangunkan ruang wacana yang lebih meriah dalam kalangan penulis dan pembaca, selain memperkukuh jaringan sastera serantau dan antarabangsa.

Festival itu juga membawa aspirasi menyokong Dekad Membaca Kebangsaan 2021–2030 serta agenda pembangunan insan dalam Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Melalui pendekatan yang menyeluruh, FKP 2026 diharapkan mampu menjadi platform penting dalam mengembangkan dunia penulisan, memperkukuh industri perbukuan negara dan membina generasi masyarakat yang membaca, berfikir dan berdaya cipta melalui pengalaman sastera yang bermakna.

Bagi masyarakat yang berminat untuk menyertai festival ini boleh membuat pendaftaran di pautan https://forms.gle/ajTgz7K1dLLA47y26

Festival Kata
Pendaftaran boleh dilakukan di https://forms.gle/ajTgz7K1dLLA47y26
Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *