KUALA LUMPUR — Perdebatan mengenai sama ada persembahan tradisional hari ini masih “original” atau sudah hilang keasliannya perlu dilihat daripada sudut fungsi dan konteks semasa, kata ahli akademik seni persembahan, Prof. Dr. Mohd Kipli Abdul Rahman.
Menurut beliau, istilah “original” atau asli dalam seni tradisional lebih dekat dengan konsep “kemurnian”, namun sifat seni persembahan itu sendiri sentiasa berubah dan berkembang mengikut zaman.
“Kalau orang kata persembahan tradisional sekarang sudah tidak original, itu kerana sudah berlaku hibridisasi. Tetapi kita kena kembali kepada fungsi asal persembahan itu sendiri,” katanya dalam siri Academia Talk “Seni Persembahan Tradisional Era Globalisasi dari Perspektif Kelestarian, Kemurnian dan Ekonomi Kreatif” di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), pada Sabtu.
Beliau yang juga Pengarah Institut Seni Kreatif Nusantara (INSAN) berkata, terdapat beberapa fungsi utama dalam seni persembahan tradisional seperti fungsi agama, penyembuhan, sosial, pendidikan dan hiburan. Oleh itu, penilaian terhadap keaslian sesuatu persembahan perlu dirujuk kepada fungsi mana yang masih dikekalkan.
Mengambil contoh persembahan di Bali, beliau berkata seni tradisional di sana masih digunakan dalam upacara keagamaan di pura, sekali gus mengekalkan fungsi spiritualnya. Namun bagi seni seperti makyung di Malaysia, fungsi ritual dan penyembuhan kini semakin berkurangan.
“Makyung sekarang bukan lagi digunakan untuk tujuan berubat atau ritual agama. Jadi aspek spiritual itu sudah tidak ada. Tetapi bentuk persembahannya masih dikekalkan dan tetap dinamakan makyung,” katanya.
Beliau berkata, walaupun unsur tertentu berubah, fungsi sosial, pendidikan dan hiburan dalam persembahan tradisional masih wujud sehingga hari ini.
Katanya, masyarakat masih hadir untuk menonton dan mengapresiasi persembahan, selain memperoleh pengetahuan tentang pantang larang, mitos dan nilai budaya yang terkandung dalam naratif persembahan.
Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa penekanan berlebihan terhadap unsur hiburan moden boleh menyebabkan nilai tradisi semakin terhakis.
“Kalau hiburan terlalu dominan, ia boleh menghilangkan nilai dalam persembahan tradisional itu sendiri,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut mempersoalkan konsep “keaslian” dalam sejarah seni tradisional kerana kebanyakan kajian hanya dilakukan selepas bentuk persembahan tertentu berkembang dalam institusi seperti istana.
“Makyung yang dikaji hari ini kebanyakannya ialah makyung yang sudah dibawa masuk ke istana. Sebelum itu bagaimana bentuknya? Adakah ketika itu sudah asli atau tidak? Hibridisasi sebenarnya sudah berlaku lebih awal,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa perbahasan mengenai “original” atau tidak lebih banyak berlaku dalam ruang akademik, manakala perkara paling penting ialah memastikan seni persembahan tradisional terus lestari.
Menurutnya, usaha pelestarian perlu dilakukan melalui dua pendekatan iaitu pendidikan formal dan tidak formal.
“Formal melalui pengajian di institusi pendidikan tinggi, manakala tidak formal melalui sistem apprentis atau konsep adiguru bagi mengekalkan teknik persembahan tradisional itu sendiri,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan tersebut juga selaras dengan semangat pemuliharaan dalam Akta Warisan yang menekankan aspek pengekalan teknik dan amalan seni tradisional.













