Sistem depositori PNM kembali beroperasi penuh

Depositoripnm

KUALA LUMPUR — Perpustakaan Negara Malaysia memaklumkan sistem depositori dalam talian agensi itu kini kembali beroperasi sepenuhnya, sekali gus dijangka meredakan kebimbangan penerbit berkaitan kelewatan permohonan ISBN dan Pengkatalogan dalam Penerbitan (PdP) sebelum Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 hujung bulan ini.

Menerusi satu kenyataan semalam, PNM berkata urusan penerbitan kini lebih mudah, pantas dan efisien melalui Sistem Depositori Perpustakaan Negara Malaysia yang boleh dicapai menerusi Sistem Depositori PNM.

Menurut kenyataan itu, antara perkhidmatan yang disediakan menerusi sistem berkenaan ialah pendaftaran penerbit, permohonan ISBN, ISSN dan PdP, selain serahan bahan asal digital (born digital).

Perkembangan tersebut menerima reaksi positif daripada pemain industri penerbitan yang sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap had permohonan ISBN yang dikenakan.

Pengarah Patriots Publishing, Syazrul Aqram berkata isu kelewatan ISBN akhirnya berjaya diselesaikan selepas beberapa siri pertemuan antara Malaysian Book Publishers Association (MABOPA) dan PNM.

“Masalah kelewatan ISBN akhirnya selesai. Setelah pertemuan banyak kali antara MABOPA dan PNM termasuk yang terbaru melalui meja perbincangan dan rundingan, akhirnya masalah ini selesai dengan kembalinya sistem dalam talian depositori PNM untuk menguruskan permohonan dan penerimaan ISBN yang lebih cekap.

“Syabas diucapkan kepada PNM, terutama Puan Katrun Nada, Pengarah Pembangunan Koleksi PNM dan pasukannya. Moving forward together,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, komuniti penerbit tempatan meluahkan keresahan apabila permohonan ISBN dan PdP dihadkan kepada hanya 100 permohonan sehari, selain dibuka pada hari bekerja dari jam 8 pagi hingga 5 petang sahaja.

Situasi itu menyebabkan ramai penerbit terpaksa “berebut slot” seawal pagi bagi memastikan permohonan mereka sempat diproses, khususnya menjelang PBAKL 2026 yang akan berlangsung dari 29 Mei hingga 7 Jun depan.

Beberapa penerbit dan pengguna media sosial sebelum ini turut mendakwa sistem permohonan sering ditutup seawal jam 9 pagi selepas kuota harian dipenuhi, selain berlaku masalah teknikal ketika proses permohonan.

Isu tersebut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penerbit kecil dan sederhana yang sedang giat menyiapkan judul baharu untuk pasaran pesta buku tahunan itu.

Dengan pengoperasian penuh sistem depositori baharu ini, pemain industri berharap proses permohonan ISBN dan PdP dapat berjalan lebih lancar serta membantu mempercepat penerbitan buku-buku baharu dalam tempoh mendatang.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *