Faisal Tehrani cipta genre baharu dalam kesusasteraan Melayu menerusi Mahakamus

Ftmahakamus

KUALA LUMPUR — Sasterawan prolifik Faisal Tehrani sekali lagi mencabar konvensi penulisan novel Melayu menerusi karya terbaharunya, Mahakamus, sebuah karya yang disifatkannya sebagai gabungan novel dan kamus dalam satu bentuk penulisan yang belum pernah diterokai secara serius dalam kesusasteraan Melayu.

Menurut beliau, penciptaan Mahakamus lahir daripada kecenderungannya untuk sentiasa mencari bentuk baharu dalam menyampaikan idea dan gagasan kreatif.

Daripada idea kepada bentuk kamus

Faisal berkata, setiap kali memperoleh ilham untuk menghasilkan karya baharu, persoalan pertama yang sering mengganggunya bukanlah jalan cerita, tetapi bentuk yang paling sesuai untuk menyampaikan cerita tersebut.

“Sewaktu saya mula berfikir untuk menulis sebuah novel baharu, saya suka menerokai pelbagai jenis genre. Selalunya apabila saya memperoleh sesuatu idea atau gagasan, perkara pertama yang mengganggu saya ialah bentuk yang saya ingin gunakan untuk menyampaikan mesej dan cerita itu.

“Oleh sebab tidak menemui bentuk yang sesuai, ada kalanya saya membiarkan idea tersebut begitu sahaja untuk tempoh yang lama. Hanya selepas beberapa ketika saya berfikir bahawa mungkin sudah tiba masanya untuk saya mengetengahkan novel ini dalam bentuk kamus,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurut beliau, kamus bukan sekadar himpunan definisi perkataan. Dalam tradisi perkamusan Melayu, sesuatu entri turut mengandungi konteks dan contoh penggunaan yang secara tidak langsung membentuk sebuah cerita.

“Kamus orang Melayu bukan sahaja memberikan definisi, tetapi juga konteks dan contoh penggunaan perkataan. Dalam banyak keadaan, contoh-contoh itu sendiri merupakan cerita. Berdasarkan pemahaman itulah saya menggarapkan Mahakamus sebagai sebuah novel dalam bentuk genre kamus,” jelasnya.

Eksperimen yang menjadi identiti penulisan

Bagi Faisal, eksperimen merupakan sebahagian daripada identiti kepengarangannya sejak awal pembabitan dalam dunia sastera.

Beliau mengakui sentiasa gemar menguji dirinya sendiri dan juga pembaca menerusi bentuk-bentuk naratif yang tidak lazim.

“Saya memang seorang yang suka menguji pembaca dan menguji diri saya sendiri. Orang sastera juga boleh masuk ke dalam makmal dan bereksperimen. Kadangkala eksperimen itu tidak menjadi, kadangkala ia berisiko, tetapi ada juga yang berhasil,” katanya.

Beliau menyifatkan hampir semua novel yang pernah dihasilkannya sebagai medan eksperimen, sama ada dari segi bentuk, struktur mahupun genre.

Antara karya yang dianggap sebagai eksperimen termasuk Kegawatan/Crises yang ditulis dalam bentuk novelet, Bedar Sukma Bisu yang menguji bentuk saga, siri Tunggu Teduh Dulu dan Bahlut yang berkembang daripada penulisan bersiri, selain novel sejarah seperti Surat-surat Perempuan Johor.

Beliau turut menyebut Cinta Hari-hari Rusuhan sebagai eksperimennya dalam genre roman, manakala novel 1515 pula merupakan percubaan yang paling berisiko pada zamannya.

“Eksperimen ini memang sebati dengan saya. Kali ini, saya hadir dengan Mahakamus, sebuah novel eksperimental. Sebuah novel yang juga kamus, dan sebuah kamus yang juga mempunyai plot serta sebab-akibat seperti sebuah novel,” ujarnya.

Menurut beliau, sebagaimana penulis bereksperimen ketika menghasilkan karya, pembaca juga perlu bersedia bereksperimen ketika membacanya.

Cabaran menulis novel mengikut abjad

Menghasilkan sebuah novel dalam bentuk kamus bukanlah tugas mudah. Faisal mengakui cabaran terbesar adalah memastikan setiap entri yang disusun mengikut huruf abjad tetap berfungsi sebagai sebahagian daripada plot keseluruhan novel.

“Bila kita bercakap tentang kamus, cabarannya ialah menyusun karya mengikut huruf atau abjad. Tetapi dalam masa yang sama ia juga sebuah novel.

“Jadi bagaimana setiap abjad itu bukan sahaja menjadi entri kamus, tetapi juga menjadi sebahagian daripada plot dan hubungan sebab-akibat? Itulah cabaran paling besar saya ketika mengarang Mahakamus,” katanya.

Pada awalnya beliau bercadang memulakan penulisan mengikut susunan A, B, C, D dan seterusnya. Namun proses kreatif tersebut ternyata lebih rumit daripada yang dijangkakan.

“Saya sedar sangat sukar untuk dilakukan secara linear. Jadi saya bermula dengan huruf C terlebih dahulu sebelum bergerak kepada huruf-huruf lain sehingga novel itu selesai,” katanya.

Selepas keseluruhan manuskrip siap, beliau kemudian menyusun semula setiap entri berdasarkan struktur yang mampu disatukan oleh satu tema besar yang menjadi tunjang keseluruhan karya.

Fiksyen sains dan fantasi tentang zaman AI

Selain memperkenalkan bentuk baharu, Faisal turut menjelaskan bahawa Mahakamus boleh dianggap sebagai sebuah novel fiksyen sains dan fantasi (FSF).

Menurut beliau, genre tersebut kini semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa dan wajar diberikan ruang yang lebih luas dalam kesusasteraan Melayu.

“Walaupun novel ini mempunyai pelbagai lapisan genre, saya fikir yang paling sesuai ialah menganggapnya sebagai sebuah novel fiksyen sains dan fantasi.

“Kali terakhir saya menghasilkan karya yang dekat dengan wilayah ini ialah sekitar sedekad lalu menerusi novel Profesor. Kini saya kembali dengan Mahakamus,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa novel tersebut lahir daripada keperluan untuk merakam realiti semasa, khususnya hubungan manusia dengan kecerdasan buatan (AI).

Faisal berkata beliau sentiasa mengingati pesan mentornya, Sasterawan Negara Dato’ Seri A. Samad Said, agar penulis menulis tentang zamannya sendiri.

“Saya membicarakan apa yang sedang berlaku hari ini. Kita perlu menjadi perakam zaman. Cabaran, masalah dan kebolehan manusia menguasai kecerdasan buatan akan menentukan apa yang berlaku seratus tahun akan datang.

“Suka atau tidak, kita perlu berdepan dengan AI. Sama ada kita mendakapnya atau menentangnya, ia tetap akan menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia. Maka novel ini juga berkaitan pergulatan manusia dengan mesin dan kecerdasan buatan yang mereka cipta sendiri,” katanya.

Mencabar pembaca generasi baharu

Bagi Faisal, Mahakamus bukan sebuah novel yang cuba memudahkan pembacaan, sebaliknya sebuah karya yang sengaja mengajak pembaca berfikir lebih jauh.

Beliau mengakui bahawa beberapa karya terdahulunya seperti 1515 dan Perempuan Politikus Melayu sering dianggap sukar oleh sesetengah pembaca, namun beliau percaya kesusasteraan perlu terus mencabar batas kefahaman.

“Untuk zaman ini saya perlu menaikkan lagi darjah kesukarannya. Saya fikir pembaca akan terlepas peluang menikmati kompleksiti sebuah novel Melayu jika kita terus berada dalam bentuk yang sama.

“Jika 1515 dahulu berjaya diterkam dan dijinakkan oleh ramai pembaca yang sanggup melenturkan pemahaman mereka, saya ingin mencabar generasi baharu pula untuk membaca Mahakamus dan melihat sejauh mana mereka memahami novel fiksyen sains dan fantasi Melayu ini,” katanya.

Tambah beliau, karya tersebut dibina menggunakan pendekatan yang banyak dipengaruhi kerangka dan teknik kepengarangan antarabangsa, sekali gus menawarkan pengalaman membaca yang berbeza daripada kebiasaan novel Melayu.

“Sering kali ada tanggapan bahawa novel Melayu berada di takuk yang sama, dengan acuan dan pendekatan yang tidak berubah. Saya ingin mencabar tanggapan itu.

“Saya membawa kelainan menerusi Mahakamus. Novel ini saya jamin akan memecahkan cara berfikir pembaca. Saya mengundang mereka untuk membaca, mengupas, membincangkan dan menilai karya ini. Sebagaimana saya mengambil risiko ketika menghasilkan 1515, saya bersedia mengambil risiko yang sama sekali lagi pada tahun 2026,” katanya.

Mahakamus di PBAKL 2026

Mahakamus

Novel Mahakamus kini boleh didapati di reruai Kawah Buku, Dewan Tun Razak 3, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.

Karya terbaharu Faisal Tehrani itu dijangka menjadi antara naskhah yang mencuri perhatian pengunjung pesta buku tahun ini kerana keberaniannya menggabungkan bentuk kamus, fiksyen sains dan fantasi serta eksperimen naratif yang berpotensi membuka lembaran baharu dalam perkembangan kesusasteraan Melayu kontemporari.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *