KUALA LUMPUR, 5 Jun — Forum Puisi dan Suara Wanita yang berlangsung di Bilik Redang, WTC KL sempena Festival Kata PBAKL 2026, menghimpunkan empat penyair wanita dari latar belakang budaya yang berbeza untuk membincangkan bagaimana mereka membentuk “suara” dan meluahkan emosi melalui puisi.
Moderator forum, Rebecca Ilham, memulakan sesi dengan menekankan bahawa suara penyair adalah sesuatu yang luas dan sewajarnya dibincangkan secara universal, melampaui sempadan jantina semata-mata.
Penyair dari Jepun, Yuki Nagae, berkongsi tentang cabaran meluahkan perasaan dalam budaya masyarakatnya.
Beliau menjelaskan bahawa di Jepun, terdapat norma tidak bertulis yang membatasi ekspresi diri secara langsung.
“Japanese people can’t really express emotion directly,” ujar beliau sambil menambah bahawa beliau lebih cenderung menggunakan bahasa badan dan platform digital untuk menyampaikan emosi yang kuat.
Bagi penyair Thailand, Rossanee Nurfarida, pengalaman sebagai wartawan di wilayah bergolak Selatan Thailand membentuk naratif puisinya yang sarat dengan unsur sosial dan politik.
Beliau menyifatkan karyanya mempunyai kontras yang unik antara bahasa dan mesej. Puisinya sering diumpamakan sebagai “meminum racun di Taman Lawenda,” di mana rima yang kedengaran lembut sebenarnya menyembunyikan nada kemarahan dan kritikan terhadap konflik politik yang berlaku.
Shivani Sivagurunathan pula menekankan kepentingan kejujuran emosi dalam penulisan.
Beliau menyatakan, “Poetry for me always begins with emotion… then I’m very loyal to that emotion,” jelasnya mengenai proses kreatifnya yang bermula daripada cetusan rasa mentah sebelum disunting menjadi bait yang bermakna.
Shivani juga berkongsi perubahan gayanya yang kini lebih meminati kesederhanaan (minimalis) berbanding penggunaan kata-kata yang kompleks sewaktu zaman mudanya.
Seterusnya, Ainunl Muayainah Sulaiman menyifatkan puisi sebagai medium untuk mengungkapkan perkara yang sukar difahami melalui prosa biasa.
Beliau menganggap setiap karya yang dihasilkan adalah rakaman memori yang unik.
“Setiap puisi yang lahir ini adalah sebuah muzium seorang penyair. Muzium pengalaman dia, muzium perasaan dia yang kita sebagai seorang pengunjung atau pembaca mengunjungi muziumnya,” kata Ainunl.
Beliau juga percaya bahawa puisi berfungsi untuk “mengungkapkan perasaan yang tidak terungkapkan” dan membantu proses pemulihan kedukaan diri.
Sebagai penutup, para panelis memberikan nasihat kepada generasi muda yang ingin menceburi bidang ini.
Shivani menyarankan agar anak muda menganggap puisi sebagai ruang selamat dan tempat untuk bereksperimen dengan perasaan mereka.
Manakala Ainunl menekankan kepentingan membaca karya-karya berkualiti sebagai asas sebelum mula menulis.
Rebecca Ilham merumuskan bahawa puisi bagi keempat-empat penyair ini bermula daripada ekspresi peribadi yang akhirnya berkembang menjadi ruang untuk mengubati diri mereka dan mengubati orang-orang di sekeliling mereka.












