MBKM pertahan keputusan pertandingan fotografi #PBAKLMerayakanBuku, AI tidak dilarang dalam syarat penyertaan

Fotombkm

KUALA LUMPUR — Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) tampil memberikan maklum balas rasmi berhubung aduan dan kritikan yang timbul selepas pengumuman keputusan pertandingan fotografi #PBAKLMerayakanBuku yang berlangsung sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, MBKM menjelaskan bahawa syarat dan terma pertandingan yang diumumkan kepada peserta tidak mengandungi sebarang larangan terhadap penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam proses penghasilan mahupun penyuntingan karya fotografi.

Menurut MBKM, setiap penyertaan yang memenuhi syarat pertandingan yang telah ditetapkan adalah layak untuk dinilai oleh panel hakim tanpa mengira kaedah atau teknologi yang digunakan dalam penghasilannya.

“Untuk makluman, syarat dan terma pertandingan yang telah ditetapkan tidak menyatakan sebarang larangan terhadap penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam proses penghasilan atau penyuntingan karya. Oleh yang demikian, penyertaan yang memenuhi semua syarat pertandingan yang telah diiklankan adalah layak untuk dinilai oleh panel hakim,” menurut kenyataan itu, hari ini.

MBKM turut menegaskan bahawa proses penilaian telah dilaksanakan secara profesional berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan oleh penganjur, termasuk aspek kreativiti, keaslian idea, komposisi, impak visual dan kesesuaian karya dengan tema pertandingan.

Menurut kenyataan itu lagi, keputusan yang diumumkan merupakan hasil pertimbangan panel hakim yang dilantik dan dianggap muktamad.

Walaupun mempertahankan keputusan pertandingan, MBKM berkata pihaknya menghargai setiap pandangan dan maklum balas yang diterima daripada peserta serta orang ramai berhubung isu penggunaan AI dalam pertandingan fotografi.

Sehubungan itu, MBKM memaklumkan bahawa cadangan dan pandangan yang dikemukakan akan diteliti bagi tujuan penambahbaikan syarat pertandingan pada masa hadapan.

“Pandangan berhubung penggunaan AI dalam pertandingan fotografi akan diteliti dan dipertimbangkan untuk penambahbaikan syarat pertandingan pada masa akan datang bagi memastikan garis panduan yang lebih jelas kepada semua peserta,” katanya.

MBKM turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta dan penyokong yang telah menjayakan pertandingan tersebut serta berharap semangat kesukanan, profesionalisme dan saling menghormati dapat terus dipelihara dalam penganjuran program-program akan datang.

Isu tersebut menjadi perbincangan hangat dalam kalangan pengunjung dan peserta PBAKL 2026 selepas timbul dakwaan bahawa karya yang memenangi pertandingan berkenaan menggunakan elemen kecerdasan buatan, sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai kedudukan AI dalam pertandingan fotografi dan seni kreatif pada masa kini.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *