IPC2026: Presiden IPA seru penerbit dunia bentuk masa depan industri, bukan sekadar membincangkan masa lalu

Gvantsa

KUALA LUMPUR — Presiden International Publishers Association (IPA), Gvantsa Jobava menyeru komuniti penerbitan global supaya menjadikan Kongres Penerbit Antarabangsa (IPA Congress) ke-35 sebagai medan membentuk masa depan industri, bukan sekadar mengenang sejarah panjang dunia penerbitan.

Beliau berkata, meskipun industri penerbitan telah melalui pelbagai perubahan besar sepanjang 130 tahun sejak kongres pertama diadakan pada 1896, tanggungjawab utama penerbit untuk menyampaikan ilmu, cerita dan penyelidikan kepada masyarakat tidak pernah berubah.

“Sepanjang dua hari di Kuala Lumpur ini, kita mempunyai peluang keemasan untuk memastikan pertemuan ini benar-benar membawa makna. Kita bukan berada di sini untuk bercakap tentang masa lalu. Kita berada di sini untuk membayangkan masa depan kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan IPA Congress 2026 di salah sebuah hotel di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketika pengasas IPA menganjurkan kongres pertama di Paris pada 1896, matlamat mereka adalah untuk mengukuhkan hubungan antara negara melalui kepentingan bersama yang diwujudkan menerusi dunia penerbitan.

Menurutnya, walaupun dunia kini telah berubah dengan kemunculan radio, televisyen, internet, telefon pintar dan kecerdasan buatan (AI), asas kepada profesion penerbitan kekal sama.

“Sebagai penerbit, bukankah kita masih mahu membawa cerita terbaik kepada pembaca, menyediakan akses kepada bahan pendidikan terbaik dan memudahkan perkongsian penyelidikan saintifik yang berkualiti?” katanya.

Gvantsa berkata, landskap penerbitan dunia kini berdepan pelbagai cabaran baharu termasuk perkembangan pesat kecerdasan buatan, penyebaran maklumat palsu, perubahan geopolitik, isu kelestarian, penyatuan pasaran, cetak rompak serta kecurian harta intelek.

Katanya, semua isu tersebut perlu ditangani secara bersama oleh komuniti penerbitan antarabangsa bagi memastikan industri terus relevan dan berdaya tahan.

Beliau turut menegaskan bahawa dalam era maklumat yang semakin sukar dipastikan kesahihannya, penerbit mempunyai tanggungjawab besar sebagai sumber ilmu yang boleh dipercayai.

“Bagaimanakah kita dapat terus menjadi sumber yang dipercayai dalam era maklumat palsu dan berita palsu? Bagaimanakah kita mahu terus menarik minat pembaca serta mempertahankan tiga kebebasan utama iaitu kebebasan bersuara, kebebasan untuk menerbitkan dan kebebasan untuk membaca?” katanya.

Menurut beliau, sempena ulang tahun ke-130 IPA, pihaknya turut menjalankan kajian mengenai arah aliran masa depan industri penerbitan merangkumi aspek teknologi, masyarakat, ekonomi, politik dan kelestarian, termasuk kesan AI terhadap tenaga kerja penerbitan.

Beliau menggesa semua peserta menggunakan peluang sepanjang kongres untuk bertukar pandangan, mencabar idea, bertanya soalan kepada ahli panel serta berkongsi pengalaman bagi membentuk hala tuju industri secara bersama.

“Anda tidak perlu menunggu soal selidik itu. Kita sudah berada di sini bersama-sama. Sepanjang dua hari ini, kami mengajak anda menyertai setiap perbincangan, mencabar antara satu sama lain, bertanya soalan dan berkongsi pengalaman,” katanya.

Dalam ucapannya, Gvantsa turut mengingatkan bahawa penerbit memainkan peranan yang jauh lebih besar daripada sekadar menghasilkan buku kerana mereka bertanggungjawab terhadap setiap karya yang diterbitkan serta berani mengetengahkan idea dan fakta yang kadangkala mencabar pihak berkuasa.

Beliau berkata, sepanjang sejarah, penerbit telah menerbitkan karya tokoh seperti Galileo dan Charles Darwin, selain terus mempertahankan kebebasan menerbitkan walaupun ada penerbit yang dipenjarakan atau hidup dalam buangan kerana mempertahankan prinsip tersebut.

Menurutnya, perkembangan AI juga tidak mungkin mencapai potensinya tanpa kualiti kandungan yang dihasilkan oleh komuniti penerbitan dunia.

“Saya berbangga kerana jika kecerdasan buatan benar-benar mahu memenuhi potensinya, ia hanya mampu berbuat demikian kerana kualiti buku-buku yang anda semua hasilkan,” katanya.

Mengakhiri ucapannya, Gvantsa mengajak seluruh komuniti penerbitan dunia untuk terus menulis lembaran baharu dalam sejarah IPA melalui kerjasama yang lebih erat.

“Marilah kita menulis lebih banyak cerita bersama-sama dalam beberapa hari akan datang,” katanya.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *