IPC 2026 bukti Malaysia kini pemain penting industri penerbitan global — Sheikh Faisal

Sheikhfaisalspeech

KUALA LUMPUR — Pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah Kongres Penerbit Antarabangsa (IPA Congress) ke-35 bukan sekadar satu penghormatan, malah menjadi bukti bahawa negara kini semakin diiktiraf sebagai pemain penting dalam landskap industri penerbitan dunia.

Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Sheikh Faisal Sheikh Mansor berkata, kongres yang menghimpunkan kira-kira 500 peserta dari lebih 40 negara itu membuka ruang kepada Malaysia untuk memperkukuh jaringan antarabangsa, meneroka pasaran baharu serta membentuk masa depan industri penerbitan bersama komuniti global.

Beliau berkata, perjalanan Malaysia sehingga berjaya menjadi tuan rumah IPA Congress bermula sejak 2018 apabila MABOPA menyertai International Publishers Association (IPA) dengan hasrat mempelajari amalan terbaik dunia dalam bidang kebebasan penerbitan, hak cipta dan penerbitan pendidikan.

Menurutnya, kerjasama yang dibina bersama IPA, termasuk penganjuran Forum Penerbit Pendidikan Malaysia sejak 2022, berjaya mengukuhkan hubungan antara industri dan pembuat dasar sehingga suara penerbit tempatan semakin diberi perhatian dalam proses membuat keputusan.

“Kami mahu penerbit Malaysia memahami isu seperti kebebasan untuk menerbitkan dan hak cipta yang sentiasa diperjuangkan IPA. Kami juga mahu rakan-rakan dalam kerajaan yang menguruskan industri buku memahami perkembangan semasa penerbitan dunia supaya dasar yang digubal mampu mengangkat dan mengukuhkan industri buku negara, bukannya melemahkannya,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis perasmian IPA Congress Kuala Lumpur 2026, di salah sebuah hotel di sini, baru-baru ini.

Sheikh Faisal berkata, kejayaan industri buku Malaysia hari ini merupakan hasil usaha berterusan pemimpin-pemimpin terdahulu yang telah meletakkan asas kukuh kepada pembangunan MABOPA dan ekosistem penerbitan negara.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pelbagai agensi kerajaan termasuk Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Perbadanan Kota Buku, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) yang selama ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh industri buku negara.

Menurut beliau, kerjasama erat antara agensi kerajaan dan persatuan industri turut menjayakan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang kini muncul antara pesta buku terbesar di rantau ini dengan hampir 2.5 juta pengunjung sepanjang tempoh penganjurannya.

Mengulas tema kongres, “Publishing Intelligence, Sustaining Forward”, Sheikh Faisal berkata, kecerdasan yang ingin diketengahkan bukan hanya merujuk kepada teknologi kecerdasan buatan (AI), sebaliknya turut merangkumi kebijaksanaan manusia, budaya serta pengalaman kolektif yang lahir apabila penerbit dari pelbagai negara berkongsi ilmu dan pengalaman.

“Tema kita, ‘Publishing Intelligence, Sustaining Forward’, mengingatkan kita bahawa kecerdasan bukan hanya kecerdasan buatan. Ia juga merangkumi kecerdasan manusia, kecerdasan budaya dan kebijaksanaan kolektif yang lahir apabila penerbit dari pelbagai negara berkumpul untuk saling belajar,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang kongres berlangsung, para peserta akan membincangkan pelbagai isu utama termasuk kecerdasan buatan, penerbitan pendidikan, hak cipta, kebebasan untuk menerbitkan serta kelestarian industri.

Katanya, perbincangan tersebut bukan sekadar bertujuan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa, malah membentuk hala tuju masa depan industri penerbitan dunia.

Dalam pada itu, Sheikh Faisal menggesa semua delegasi memanfaatkan peluang sepanjang kongres untuk membina rangkaian baharu, mengenal pasti pasaran baharu dan mewujudkan kerjasama jangka panjang.

“Saya menggalakkan setiap seorang daripada anda bukan sahaja menghadiri sesi perbincangan, tetapi juga berkenalan dengan rakan baharu, meneroka pasaran baharu, bertukar idea dan memulakan perbualan yang mungkin berkembang menjadi kerjasama sepanjang hayat,” katanya.

Beliau turut mengumumkan bahawa buat julung kalinya dalam sejarah penganjuran IPA Congress, Asian Rights Fair @ IPA Congress 2026 diperkenalkan sebagai platform padanan perniagaan khusus bagi mempertemukan penerbit dan pemain industri hak cipta dari pelbagai negara.

Menurut beliau, program yang dikendalikan oleh Perbadanan Kota Buku itu diharap menjadi legasi baharu kepada penganjuran IPA Congress pada masa hadapan.

Dalam ucapannya, Sheikh Faisal turut mengenang mendiang wartawan industri penerbitan antarabangsa, Porter Anderson, yang pernah menyatakan bahawa Malaysia memiliki begitu banyak cerita menarik yang wajar diperkenalkan kepada dunia.

“Malaysia mempunyai begitu banyak cerita yang indah untuk dikongsikan kepada dunia. Ya, kita sememangnya mempunyai cerita untuk diceritakan, dan ya, dunia perlu mengetahuinya. Dan waktunya adalah sekarang, di IPA Congress ke-35,” katanya.

Mengakhiri ucapannya, Sheikh Faisal berkata walaupun pasukan penganjur tidak mampu menjanjikan segala-galanya akan berlangsung dengan sempurna, mereka berjanji setiap usaha yang dilakukan adalah dengan penuh keikhlasan.

“Saya hanyalah insan kecil di pentas yang besar ini. Namun seperti setiap rakyat Malaysia di dewan ini, kami mempunyai hati yang besar. Saya tidak dapat menjanjikan semuanya akan sempurna, tetapi saya dan pasukan berjanji bahawa setiap yang kami lakukan untuk anda datang daripada hati kami,” katanya.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *