Penerbit Mesir menang IPA Prix Voltaire 2026, pertahan kebebasan penerbitan

Yehiafekry

KUALA LUMPUR — Dua penerbit dari Mesir menerima pengiktirafan tertinggi dalam IPA Prix Voltaire 2026 sempena International Publishers Congress (IPC) Ke-35 yang berlangsung di Kuala Lumpur, semalam, atas keberanian mereka mempertahankan kebebasan menerbitkan di sebalik tekanan dan penapisan.

Anugerah anjuran Persatuan Penerbit Antarabangsa (IPA) itu merupakan satu-satunya pengiktirafan antarabangsa yang secara khusus menghargai keberanian penerbit dalam mempertahankan kebebasan menerbitkan, iaitu hak asasi yang menjadi tunjang kepada kebebasan bersuara dan penyebaran ilmu.

Bagi edisi 2026, pengasas bersama El Maraya for Arts & Culture, Yehya Fekry diumumkan sebagai penerima IPA Prix Voltaire Laureate, manakala Allahyarham Mohamed Hashem, pengasas dan pengarah Merit Publishing House, menerima IPA Prix Voltaire Special Award secara anumerta.

Yehya Fekry mengasaskan El Maraya for Arts & Culture di Kaherah pada tahun 2016.

Sejak penubuhannya, syarikat penerbitan bebas itu telah menerbitkan lebih 250 judul dengan pendirian editorial yang bebas dan kritikal.

Bagaimanapun, pendirian tersebut menyebabkan mereka berdepan pelbagai tekanan institusi termasuk disingkirkan daripada Pesta Buku Antarabangsa Kaherah bagi edisi 2025 dan 2026.

Antara 2018 hingga 2024, ibu pejabat penerbit itu turut diserbu sebanyak lima kali, kakitangannya ditahan, manakala beberapa judul buku dirampas serta diharamkan daripada diterbitkan semula.

Selepas menerima anugerah berkenaan, Yehya menyifatkan pengiktirafan itu sebagai satu penghormatan besar bukan sahaja kepada dirinya, malah kepada seluruh pasukan El Maraya.

“Sudah tentu saya amat gembira dan berbangga menerima Anugerah Voltaire ini. Ia merupakan satu penghormatan besar buat kami di El Maraya dan juga buat saya secara peribadi untuk menerima anugerah yang begitu berprestij serta mempunyai signifikan di peringkat global daripada Persatuan Penerbit Antarabangsa. Pengiktirafan ini benar-benar mengisi kami dengan rasa bangga dan gembira, dan kami berharap dapat membuktikan bahawa kami layak menerimanya.

“Mesej utama yang ingin saya sampaikan kepada komuniti penerbitan ialah penting untuk kita sebagai penerbit terus mempertahankan nilai kebebasan untuk menerbitkan, kebebasan bersuara, hak pembaca untuk memperoleh ilmu, serta hak para penyelidik dan penulis untuk menyuarakan pandangan mereka.

“Kita juga perlu berani berdepan dengan ketidakadilan yang wujud dan menegaskan bahawa dunia penerbitan mesti terus menjadi ruang untuk masyarakat meluahkan pandangan, idea dan kebebasan mereka.

“Apa yang positif ialah kita terus teguh mempertahankan pendirian, menghadapi segala cabaran tersebut, dan memainkan peranan kita dalam mempertahankan kebebasan untuk menerbitkan serta kebebasan bersuara,” katanya.

Sementara itu, IPA Prix Voltaire Special Award diberikan secara anumerta kepada Mohamed Hashem (1958–2025) sebagai penghargaan terhadap sumbangan luar biasanya sepanjang hayat dalam mempertahankan kebebasan berkarya dan menerbitkan di dunia Arab.

Melalui Merit Publishing House yang diasaskannya, Mohamed Hashem menerbitkan ratusan karya sastera kontemporari serta mengetengahkan ramai penulis baharu selama lebih 25 tahun.

Beliau turut menjadikan Merit sebagai ruang budaya terbuka yang meraikan kepelbagaian idea serta mencabar dogma agama dan autoriti politik.

Semasa Revolusi 25 Januari 2011 di Mesir, Merit berfungsi sebagai salah sebuah pusat pertemuan utama para aktivis. Walaupun berdepan tekanan daripada pihak berkuasa termasuk waran tangkap, Mohamed Hashem tidak pernah berganjak daripada prinsip mempertahankan kebebasan bersuara dan kebebasan menerbitkan.

Anugerah khas itu diterima oleh anak perempuannya, Mirette Hashem, bagi pihak keluarga serta seluruh warga Merit Publishing House.

IPA Prix Voltaire mengiktiraf individu atau organisasi yang menunjukkan keberanian luar biasa dalam mempertahankan kebebasan menerbitkan dan kebebasan bersuara, selain mengiktiraf sumbangan sepanjang hayat yang memberi impak besar kepada dunia penerbitan antarabangsa.

  • Ashraf Ali

    Ashraf Ali, wartawan Titik Baca yang menumpukan liputan sastera, budaya dan seni. Penulisannya memberi perhatian kepada perkembangan semasa, isu penerbitan, acara budaya serta kenyataan rasmi yang berkaitan dunia kreatif tempatan.

    Dengan pendekatan pelaporan yang ringkas dan berfakta, Ashraf Ali menekankan kejelasan maklumat, konteks dan ketepatan sumber, selari dengan peranan Titik Baca sebagai portal media budaya. Ashraf boleh dihubungi melalui ashrafali@titikbaca.my

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *