Hari Terbuka Pustaka Imaginasi tampilkan seni melalui cerita, puisi, buku

Pustakaimaginasi

KUALA LUMPUR — Balai Seni Negara bakal menganjurkan Hari Terbuka Pustaka Imaginasi 2026 pada Sabtu ini sebagai usaha memperkenalkan Pustaka Imaginasi kepada masyarakat sebagai pusat rujukan seni visual, selain menggalakkan budaya membaca dan kreativiti.

Program yang berlangsung dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang pada 22 Ogos di Balai Seni Negara itu menampilkan pelbagai aktiviti berkaitan seni, pembacaan dan kreativiti, termasuk Pertandingan Bercerita, Pertandingan Deklamasi Puisi dan Sembang Santai Buku.

“Penganjuran ini bertujuan memperkenalkan Pustaka Imaginasi sebagai pusat rujukan dan pengumpulan data pelukis serta sumber berkaitan seni visual, di samping menggalakkan budaya membaca, memperluas pengetahuan serta merangsang pemikiran kritis dan kreativiti masyarakat,” menurut Balai Seni Negara dalam satu kenyataan, semalam.

Pertandingan Bercerita menjadi antara pengisian yang menarik perhatian apabila karya seni daripada Koleksi Tetap Balai Seni Negara dijadikan asas kepada peserta untuk membina cerita berdasarkan imaginasi, emosi, watak atau mesej yang ditanggapi daripada karya berkenaan.

Pertandingan itu terbuka kepada kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun dan dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Tahap 1 bagi peserta berusia tujuh hingga sembilan tahun serta Tahap 2 bagi peserta berusia 10 hingga 12 tahun.

Sebanyak 20 karya dipilih sebagai rujukan, terdiri daripada 12 karya daripada Pameran Perolehan Terkini: Recent Acquisition di Galeri 2A dan lapan karya daripada Pameran Cinta Buatan Malaysia 79-89 di Galeri Tun Razak.

Pemilihan karya berkenaan memberikan peluang kepada peserta meneroka seni menerusi penceritaan, selain mengembangkan imaginasi dan kreativiti berdasarkan tafsiran masing-masing.

Bagi golongan berusia 13 tahun ke atas, Pertandingan Deklamasi Puisi pula mengangkat tema “Seni, Imaginasi dan Kemanusiaan”.

Peserta dikehendaki memilih dan mendeklamasikan puisi daripada penerbitan Koleksi Puisi: 55 Koleksi 55 Penulis 55 Puisi terbitan Balai Seni Negara.

“Melalui penganjuran ini, Balai Seni Negara terus memperkukuh peranan Pustaka Imaginasi sebagai pusat rujukan dan pembelajaran seni visual yang menyediakan akses kepada sumber ilmu, di samping membuka peluang kepada masyarakat, khususnya generasi muda, untuk mengembangkan pengetahuan, kreativiti dan apresiasi terhadap seni,” katanya.

Sementara itu, Sembang Santai Buku memberi tumpuan kepada buku sebagai sumber ilmu, inspirasi dan rujukan dalam memperkaya apresiasi terhadap seni, sejarah dan budaya.

Sesi berkenaan mengetengahkan kupasan novel Hidup Berjuang karya Mohamed Salehuddin yang merakam pengalaman masyarakat ketika zaman Perang Dunia Kedua, selain memperlihatkan hubungan antara karya sastera, sejarah dan pemikiran kreatif.

Pengunjung turut berpeluang mendapatkan perkhidmatan pendaftaran dan kemas kini biodata artis, pendaftaran keahlian NAG Friends serta khidmat nasihat mengenai Tabung Bantuan Seni (TBS).

Reruai jualan dan pameran turut disediakan sepanjang program yang mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor melalui Selangor Fruit Valley, Dermally Malaysia, Gardenia Malaysia, iGroup Malaysia melalui Access Dunia Sdn. Bhd., Lemonjar Software Media Sdn. Bhd. dan Wonderbuuk melalui Edge Tech Engineering sebagai rakan penaja.

Orang ramai dijemput hadir ke Hari Terbuka Pustaka Imaginasi 2026 pada 22 Ogos ini dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang di Balai Seni Negara.

  • Ashraf Ali

    Ashraf Ali, wartawan Titik Baca yang menumpukan liputan sastera, budaya dan seni. Penulisannya memberi perhatian kepada perkembangan semasa, isu penerbitan, acara budaya serta kenyataan rasmi yang berkaitan dunia kreatif tempatan.

    Dengan pendekatan pelaporan yang ringkas dan berfakta, Ashraf Ali menekankan kejelasan maklumat, konteks dan ketepatan sumber, selari dengan peranan Titik Baca sebagai portal media budaya. Ashraf boleh dihubungi melalui ashrafali@titikbaca.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *