KUCHING — Video kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) bertajuk Surreal Experiences terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa apabila meraih PATA Gold Award 2026 dalam kategori Marketing – Travel Video.
Anugerah berkenaan disampaikan pada Majlis Makan Malam PATA Gold Awards 2026 yang berlangsung semalam bersempena PATA Travel Mart (PTM) 2026 di Kuching, Sarawak. Anugerah tersebut diterima oleh Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia, Mohd Akbal Setia.
Video berdurasi tiga minit itu mengetengahkan keunikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan menerusi kepelbagaian tarikan, kekayaan budaya serta pengalaman pelancongan yang autentik. Paparan visual turut mengangkat nilai perpaduan, keharmonian, kemesraan dan kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia.
Lebih menarik, video berkenaan menggunakan lagu yang dipersembahkan oleh penyanyi tempatan, Ernie Zakri, dengan lirik dalam pelbagai bahasa yang mencerminkan kepelbagaian masyarakat Malaysia sekali gus menjadi simbol keharmonian negara.
Sejak dilancarkan pada 2025, Surreal Experiences telah digunakan dalam pelbagai pameran pelancongan antarabangsa, ekspo, jerayawara dan misi jualan di seluruh dunia bagi memperkukuh promosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf global.
Pengiktirafan itu hadir ketika prestasi sektor pelancongan Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif. Negara merekodkan 21.2 juta ketibaan pelawat pada separuh pertama 2026, meningkat 2.5 peratus berbanding 20.6 juta ketibaan dalam tempoh sama pada 2025.
Video promosi seperti Surreal Experiences dilihat memainkan peranan penting dalam memperkukuh usaha pemasaran negara, khususnya bagi menyokong sasaran ketibaan pelawat menerusi kempen Visit Malaysia 2026–2027.
PATA Gold Awards merupakan antara pengiktirafan utama dalam industri pelancongan Asia Pasifik yang mengiktiraf kecemerlangan dalam bidang pemasaran serta kelestarian dan tanggungjawab sosial.
Pemenang tahun ini dipilih oleh panel bebas yang terdiri daripada 25 hakim antarabangsa, dengan sebanyak 27 anugerah disampaikan termasuk kategori Grand Title Winners.
Sementara itu, PTM 2026 terus menjadi platform penting bagi pemain industri pelancongan untuk memperluas jaringan perniagaan, menemukan pelanggan baharu, memperkukuh hubungan sedia ada dan meneroka peluang pasaran menerusi pertemuan antara organisasi pelancongan dengan pembuat keputusan utama industri.
Penyertaan Malaysia dalam PTM 2026 turut melibatkan enam organisasi anggota PATA Malaysia Chapter, iaitu Malai Adventure Sdn. Bhd., Langkawi Development Authority (LADA), Langkawi MICE Holidays & Tours Sdn. Bhd., FIC Hospitality Sdn. Bhd., World Express (M) Sdn. Bhd. dan U2 Travel & Tours Sdn. Bhd.













