Masuklah, ada cerita dalam Cengkerumah

Cengkerumah

Ada pertemuan yang selesai selepas berjabat tangan. Ada pula pertemuan yang diam-diam memanjangkan hayatnya melalui buku.

Bagi saya, salah satu pertemuan itu bermula pada 2024. Tahun tersebut mempunyai tempat tersendiri dalam perjalanan kepengarangan saya apabila terpilih menyertai Minggu Penulis Remaja (MPR), program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung di Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT), Bukit Tinggi.

Maka, apabila menerima peluang tersebut, hati saya tentu sahaja berbunga-bunga. Siapa yang tidak gembira apabila dapat memasuki sebuah ruang yang pernah menjadi persinggahan ramai penulis sebelumnya?

Cuma ada satu perkara kecil yang mengganggu fikiran—umur saya ketika itu sudah 21 tahun.

Saya sempat berjenaka sendiri: jangan-jangan sayalah remaja paling “senja” dalam Minggu Penulis Remaja!

Rupa-rupanya saya tidak keseorangan. Di situlah saya bertemu Zulzafry Zulkifly. Lebih kebetulan, kami ditempatkan sebagai teman sebilik.

Barangkali persahabatan dalam dunia penulisan memang sering bermula melalui perkara sederhana. Sebuah bilik, beberapa perbualan lalu malam yang menjadi panjang kerana topik sastera tidak pernah pandai menyuruh manusia tidur awal.

Sembang punya sembang, kami menemukan satu persamaan—cinta terhadap bahan bacaan sastera.

Namun cinta terhadap sastera tidak semestinya membawa dua pembaca ke rak buku yang sama. Ada penulis kegemarannya yang belum pernah saya baca. Ada penulis kegemaran saya yang belum sempat disentuhnya. Dari situlah berlaku pertukaran nama penulis, pertukaran judul serta pandangan bertemu pandangan.

Saya kira begitulah persahabatan sastera bekerja. Kita tidak semestinya membaca buku yang sama untuk menjadi sahabat.

Kadangkala kita bersahabat kerana mahu membuka pintu bacaan yang belum pernah dibuka oleh satu sama lain.

Seorang pembaca membawa sebuah dunia; seorang lagi membawa dunia lain. Apabila kedua-duanya bertemu, perpustakaan dalam kepala masing-masing menjadi sedikit lebih luas.

Dua tahun kemudian, pertemuan kecil di Bukit Tinggi itu menemukan sambungannya. Kami terus menjadi sahabat.

Pada 2026, bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), Zulzafry hadir dengan sebuah pencapaian baharu. Buku solo pertamanya, Cengkerumah, sebuah kumpulan cerpen terbitan Legasi Oakheart.

Sebagai sahabat, tentu ada rasa seronok melihat namanya terpampang pada kulit buku. Namun sebagai pembaca, saya cuba meletakkan persahabatan sedikit ke tepi.

Buku tetap perlu dibaca sebagai buku. Sahabat boleh diraikan, tetapi karya perlu diberikan ruang untuk berdiri dengan kakinya sendiri.

Dan selepas khatam Cengkerumah, saya berpendapat bahawa buku ini mempunyai kaki yang mahu berjalan jauh.

Cerpen-cerpen di dalamnya tidak datang dengan wajah seragam. Masing-masing mempunyai nada dan nyala tersendiri. Ada keberanian mencuba, ada keinginan mencari bentuk, ada suara yang sedang membina identitinya.

Bagi sebuah kumpulan cerpen pertama, perkara sebegini menarik kerana karya sulung bukan sekadar pengenalan seorang penulis kepada pembaca; karya sulung juga medan seorang penulis memperkenalkan dirinya kepada dirinya sendiri.

Ray Bradbury pernah menulis dalam Zen in the Art of Writing, “You must stay drunk on writing so reality cannot destroy you.

Jika diterjemahkan secara bebas ia berbunyi, “Kita harus terus mabuk menulis agar kenyataan tidak sempat memusnahkan kita.”

“Mabuk” yang dimaksudkan Bradbury tentu bukan kehilangan kewarasan, sebaliknya keberanian menyerahkan diri kepada proses penciptaan.

Membaca, menulis, mencuba, gagal, membuang, kemudian menulis semula. Seorang penulis muda memerlukan kegilaan kecil seperti itu.

Teknik boleh dipelajari. Gaya boleh diasah. Tetapi keinginan untuk terus kembali kepada halaman kosong mesti dipelihara sendiri. Judulnya sendiri menarik untuk direnungkan.

Rumah biasanya kita fahami sebagai tempat pulang, tempat berlindung, tempat manusia menyimpan segala kenangan. Namun seorang penulis juga membina rumah melalui bahasa.

Ayat menjadi dindingnya, watak menjadi penghuninya, konflik menjadi pintunya, sementara pembaca datang sebagai tetamu. Kadangkala duduk sebentar, kadangkala menetap lama dalam ingatan.

Menariknya, gagasan tentang “rumah” ini bukan sekadar sedap dijadikan kiasan apabila membicarakan Cengkerumah.

Dalam cerpen “Rumah Nostalgia”, rumah benar-benar dijadikan sebahagian daripada binaan cerita.

Zulzafry memecahkan naratifnya mengikut bahagian-bahagian rumah seperti Bilik Utama, Ruang Tamu dan Tanah. Maka rumah tidak lagi sekadar latar; rumah berubah menjadi struktur.

Seolah-olah untuk memahami sebuah kehidupan, pembaca perlu berjalan dari satu ruang ke satu ruang.

Kita membuka pintu, memasuki bilik, singgah di ruang tamu, kemudian kembali menyentuh tanah. Setiap ruang membawa serpihan cerita.

Dan setiap serpihan pula mengingatkan bahawa nostalgia jarang hadir sebagai sebuah ingatan yang sempurna. Kenangan datang berpetak-petak.

Ada ruang yang masih terang, ada sudut yang sudah kabur, ada bahagian yang kita sendiri keberatan untuk kunjungi semula.

Di sinilah “Rumah Nostalgia” menarik untuk dibaca bukan sahaja dari sudut apa yang diceritakan, tetapi bagaimana cerita itu dibina.

Bentuk menjadi sebahagian daripada makna. Struktur tidak lagi berfungsi sebagai bekas yang menampung cerita semata-mata; struktur turut bercerita.

Permainan bentuk itu tidak berhenti di situ.

Dalam “Tentang Hati Saya yang Hilang”, Zulzafry memilih pendekatan berbeza apabila pecahan-pecahan ceritanya digerakkan melalui aliran nombor mengikut turutan.

Jika “Rumah Nostalgia” meminta kita bergerak melalui ruang, cerpen ini pula meminta kita bergerak melalui angka.

#1. #2. #3. Dan hingga seterusnya.

Angka biasanya memberikan rasa tertib. Hati pula jarang sekali mengenal tertib. Pertembungan itulah yang menarik. Sesuatu yang emosional dan sukar diukur diletakkan dalam kerangka yang tersusun.

Seakan-akan kehilangan boleh dihitung, seakan-akan hati boleh disusun kembali dengan nombor. Namun manusia tahu, semakin kita cuba menghitung rasa, semakin kita sedar ada perkara yang tidak pernah tunduk kepada kira-kira.

Daripada ruang kepada angka, Zulzafry kemudian membawa pembaca kepada permainan yang lebih interaktif menerusi cerpen “Selamat Tinggal Ayah”.

Inilah antara cerpen yang paling menangkap perhatian saya dari segi pembinaan bentuknya. Pembaca seakan-akan diberikan sebuah pencarian kecil.

Semacam quest untuk meneliti surat tertentu, mencari perenggan tertentu, kemudian menghubungkan petunjuk tersebut dengan keseluruhan cerita.

Membaca tidak lagi sekadar bergerak lurus dari awal menuju akhir. Mata perlu mencari, fikiran perlu menyambung, pembaca perlu turut bekerja.

Pada saat itu, pembaca bukan lagi sekadar tetamu kepada rumah yang dibikin oleh Zulzafry. Pembaca menjadi pencari.

Ada sesuatu yang hampir menyerupai permainan dalam kaedah tersebut, tetapi permainannya tetap berkhidmat kepada cerita.

Pembaca diminta menemukan hubungan antara serpihan, seolah-olah makna sengaja disorokkan pada celah teks dan hanya akan muncul kepada mereka yang sanggup mencarinya.

Saya teringat kata-kata novelis Amerika, Kurt Vonnegut, ketika membicarakan bentuk cerita, “Tiada sebab bentuk sesebuah cerita yang mudah tidak boleh diberikan kepada komputer.”

Vonnegut pernah melukiskan bentuk cerita sebagai garis yang naik dan turun mengikut nasib wataknya. Di sebalik kelucuannya, gagasan tersebut membawa satu kesedaran penting—cerita mempunyai bentuk.

Namun bentuk tidak semestinya satu. Ada cerita memilih jalan lurus. Ada yang berlingkar. Ada yang berpecah. Ada pula yang sengaja meminta pembaca mencari jalannya sendiri.

Hal inilah yang menjadikan Cengkerumah menarik. Kepelbagaian dalam kumpulan ini bukan hanya terletak pada cerita yang berbeza-beza, tetapi turut hadir melalui rupa cerita yang berubah-ubah.

“Rumah Nostalgia” membina naratif melalui ruang; “Tentang Hati Saya yang Hilang” menyusunnya melalui angka; “Selamat Tinggal Ayah” pula mengajak pembaca memburu hubungan antara surat, perenggan dan cerita.

Ruang. Angka. Petunjuk. Tiga cara berbeza untuk memasuki tiga buah cerita.

Eksperimen sebegini meletakkan beberapa cerpen dalam Cengkerumah di luar kebiasaan bentuk cerpen konvensional. Sudah tentu, bentuk yang ganjil sahaja belum menjamin sebuah karya menjadi baik.

Eksperimen tetap memerlukan cerita, emosi dan makna untuk memberikan nyawa kepadanya. Namun keberanian mencuba bentuk memperlihatkan seorang pengarang muda yang tidak mahu sekadar duduk selesa dalam sebuah acuan.

Barangkali itulah yang paling saya senangi tentang Cengkerumah. Zulzafry tidak membina semua cerpennya dengan pelan lantai yang sama.

Dan sebuah rumah sastera menjadi lebih menarik apabila setiap pintunya tidak membawa kita ke ruang yang sama.

Cengkerumah, bagi saya, ialah rumah pertama yang sedang dibina Zulzafry. Rumah pertama tentu tidak perlu menjadi rumah terakhir.

Masih ada ruang yang boleh diperluas, jendela yang boleh dibuka, perabot di dalamnya yang boleh dialihkan. Begitulah perjalanan kepengarangan.

Penulis yang baik bukan penulis yang selesai selepas buku pertama, tetapi penulis yang menjadikan buku pertama sebagai pertanyaan—selepas ini, sejauh mana lagi aku mampu pergi?

Barangkali itulah perkara paling menyenangkan apabila membaca karya seorang sahabat. Kita bukan sahaja membaca apa yang telah ditulisnya, tetapi turut membayangkan segala kemungkinan yang belum ditulis.

Saya teringat kembali Bukit Tinggi pada 2024. Dua orang “remaja senja” berbual tentang buku, tentang penulis yang seorang pernah baca dan seorang lagi belum kenal. Ketika itu, tiada siapa tahu ke mana perbualan tersebut akan membawa kami.

Dua tahun kemudian, salah seorang sudah mendirikan rumah pertamanya. Namanya Cengkerumah.

Saya cuma berharap rumah itu tidak menjadi tempat Zulzafry berhenti, tetapi menjadi alamat pertama sebelum lahir rumah kedua, ketiga dan seterusnya.

Kerana dalam sastera, rumah terbaik bukan sekadar rumah yang siap dibina. Ia rumah yang membuat pembaca mahu kembali.

  • Mudinhaiqal

    Mudin Haiqal atau nama sebenarnya Arif Haiqal Roslan. Pelajar Undang-Undang UiTM Shah Alam ini mula menulis sejak bangku sekolah. Mudin Haiqal juga alumni Minggu Penulis Remaja 2024 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *