Suara Kuala Lumpur semarak sambutan Hari Kebangsaan dengan puisi, muzik, seni

Suarakl

KUALA LUMPUR — Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini bakal disemarakkan menerusi program Suara Kuala Lumpur, sebuah acara yang menghimpunkan penyair, pemuzik dan penggiat seni dalam satu pentas apresiasi sastera dan kebudayaan di Perpustakaan Kuala Lumpur pada Sabtu, 22 Ogos 2026.

Program yang dianjurkan oleh Perpustakaan Kuala Lumpur dan Nusa Centre dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu akan bermula pada 8.00 malam, manakala gerai makanan dan minuman serta reruai buku dibuka kepada orang ramai mulai 2.00 petang.

Suara Kuala Lumpur menampilkan barisan penyair tersohor negara menerusi sesi bacaan puisi yang diselang-selikan dengan persembahan muzik dan tarian.

Program ini bukan sahaja menjadi wadah pengucapan seni, malah mengangkat puisi sebagai medium untuk menyuarakan kecintaan terhadap tanah air, masyarakat dan kepelbagaian budaya.

Persembahan pembukaan akan menampilkan Tarian SK Tun Hussein Onn, diikuti bacaan puisi oleh Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman dan Tai Weuy Liang.

Acara kemudiannya diteruskan dengan persembahan muzik Cina oleh Alan Lam, sebelum sesi bacaan puisi oleh Hameer Habib, Dr. Ariff Mohammad dan Ahmad Shukri Abdullah.

Turut mengisi acara ialah persembahan Dr. Shafaatussara Silahudin, diikuti bacaan puisi oleh Dr. Zainatul Shuhaida Abdul Rahman, Dr. Shamsudin Othman dan Zaen Kasturi.

Segmen terakhir pula menampilkan persembahan Sani Sudin, sebelum acara diteruskan dengan bacaan puisi oleh Mohd Ridzuan Harun, Mohd Nazmi Yaakub dan Lutfi Ishak.

Menurut Pengarah program, Syed Mohd Zakir, Suara Kuala Lumpur diharap dapat menjadi ruang pertemuan yang menghimpunkan masyarakat sastera bersama orang awam dalam suasana sambutan kemerdekaan yang santai, terbuka dan meriah.

“Kami mahu masyarakat sastera, khususnya para penyair, penggiat seni dan pencinta buku, bersama-sama turun ke Perpustakaan Kuala Lumpur untuk meraikan kemerdekaan melalui bahasa, puisi, muzik dan pertemuan sesama kita.

“Namun, acara ini bukan hanya untuk masyarakat sastera. Semua lapisan masyarakat dialu-alukan untuk hadir dan menikmati persembahan yang disediakan,” jelasnya ketika dihubungi Titik Baca.

Beliau berkata, puisi mempunyai kekuatan tersendiri dalam merakam pengalaman masyarakat dan menyuarakan rasa cinta terhadap negara, selain menjadi ruang untuk masyarakat melihat kemerdekaan daripada pelbagai sudut dan pengalaman.

“Kemerdekaan harus diraikan bukan sahaja dengan perarakan dan acara rasmi, tetapi juga melalui kebudayaan dan kesenian yang menjadi sebahagian daripada jiwa masyarakat.

“Suara Kuala Lumpur cuba membawa semangat itu melalui pertemuan penyair, muzik dan orang ramai dalam satu ruang yang terbuka kepada semua,” tambahnya.

Sehubungan itu, masyarakat khususnya warga Kuala Lumpur dan peminat sastera serta seni tanah air dijemput hadir beramai-ramai memeriahkan Suara Kuala Lumpur di laman Perpustakaan Kuala Lumpur.

Program ini terbuka kepada orang ramai dan percuma, dengan pelbagai pilihan makanan, minuman serta buku yang turut disediakan di reruai sepanjang acara.

Ayuh hadir bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan melalui suara puisi, irama muzik dan pertemuan masyarakat di Suara Kuala Lumpur.

  • Ashraf Ali

    Ashraf Ali, wartawan Titik Baca yang menumpukan liputan sastera, budaya dan seni. Penulisannya memberi perhatian kepada perkembangan semasa, isu penerbitan, acara budaya serta kenyataan rasmi yang berkaitan dunia kreatif tempatan.

    Dengan pendekatan pelaporan yang ringkas dan berfakta, Ashraf Ali menekankan kejelasan maklumat, konteks dan ketepatan sumber, selari dengan peranan Titik Baca sebagai portal media budaya. Ashraf boleh dihubungi melalui ashrafali@titikbaca.my

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *