Sastera sentiasa menjadi medium penting untuk merakam kehidupan masyarakat dan menyuarakan pelbagai isu yang berlaku dalam persekitaran.
Melalui karya kreatif seperti cerpen, pengarang bukan sahaja menghasilkan hiburan kepada pembaca, malah menyampaikan pemikiran, kritikan sosial dan nilai kemanusiaan.
Dalam perkembangan sastera Melayu kontemporari, semakin ramai penulis wanita tampil mengangkat pengalaman dan realiti kehidupan wanita daripada perspektif yang lebih mendalam.
Femina bermaksud “wanita” atau “perempuan”. Ini adalah kata dasar bagi perkataan feminine (bahasa Inggeris) atau feminin (bahasa Melayu) yang membawa maksud sifat-sifat kewanitaan.
Perkataan tersebut selari dan bersesuaian dengan novel yang mengangkat isu-isu wanita iaitu Cantara Berkunang-kunang karya Nurin Amani.
Kumpulan cerpen ini menampilkan pelbagai kisah yang berpusat pada kehidupan wanita, sekali gus memperlihatkan cabaran, kekuatan dan perjuangan mereka dalam mendepani pelbagai ujian kehidupan.
Keberanian Nurin Amani mengangkat pengalaman wanita daripada pelbagai latar membuktikan kepekaan beliau terhadap denyut nadi masyarakat.
Beliau tidak sekadar menulis tentang wanita, sebaliknya memberikan ruang kepada suara yang sering terpinggir agar didengari melalui karya sastera.
Pendekatan ini menjadikan Cantara Berkunang-kunang bukan sekadar himpunan cerpen, tetapi sebuah wadah yang mengangkat martabat dan pengalaman wanita sebagai subjek penting dalam kesusasteraan Melayu kontemporari.
Antara isu utama yang diketengahkan ialah perjuangan wanita menghadapi tekanan hidup.
Dalam kebanyakan cerpen, watak wanita digambarkan berhadapan dengan pelbagai konflik seperti kehilangan insan tersayang, tekanan emosi dan beban kehidupan yang berat serta isu ketidakyakinan memilih pasangan.
Konflik-konflik tersebut bukan sekadar menjadi jalan cerita, malah menjadi simbol kepada realiti yang dialami oleh ramai wanita dalam masyarakat pada hari ini.
Nurin Amani memperlihatkan bahawa di sebalik kelembutan seorang wanita, tersimpan kekuatan luar biasa untuk bangkit daripada kesedihan dan meneruskan kehidupan.
Gambaran ini memberi mesej bahawa ketabahan bukanlah sesuatu yang lahir tanpa kesakitan, tetapi dibentuk melalui pengalaman dan ujian yang ditempuhi.
Keupayaan penulis mengolah konflik secara sederhana tetapi meninggalkan kesan mendalam memperlihatkan kematangan beliau dalam memahami psikologi wanita serta kehalusan emosi yang sering tidak terungkap dalam kehidupan sebenar.
Di samping itu, Nurin Amani turut mengangkat isu kesihatan wanita, sama ada dari aspek fizikal mahupun mental.
Isu kesihatan sering dianggap sebagai perkara peribadi sehingga ramai wanita memilih untuk memendam penderitaan mereka.
Dalam karya ini, pengarang membuka ruang kepada pembaca untuk memahami kesan penyakit, trauma dan tekanan psikologi terhadap kehidupan wanita. Pengalaman tersebut digambarkan dengan penuh empati.
Pendekatan ini menunjukkan bahawa wanita yang berdepan masalah kesihatan masih memiliki maruah, harga diri dan kekuatan untuk meneruskan kehidupan.
Pada masa yang sama, karya ini menggalakkan masyarakat agar lebih prihatin terhadap kesihatan wanita dan tidak memandang ringan cabaran yang mereka alami.
Keberanian menyentuh isu-isu ini memperlihatkan keprihatinan Nurin Amani terhadap kelompok yang jarang diberikan ruang dalam karya sastera arus perdana. Hal ini menjadikan karya beliau lebih dekat dengan realiti masyarakat.
Satu lagi kekuatan Cantara Berkunang-kunang ialah pengarang memberikan suara dan identiti kepada watak-watak wanita.
Mereka tidak digambarkan sebagai individu yang pasif atau sekadar menerima segala ketentuan tanpa berfikir.
Sebaliknya, watak wanita mempunyai pendapat, impian dan keberanian untuk membuat keputusan berdasarkan prinsip hidup masing-masing.
Pengarang memperlihatkan bahawa wanita mempunyai hak untuk menentukan pilihan sendiri tanpa perlu sentiasa bergantung kepada orang lain.
Pendekatan ini secara tidak langsung mencerminkan perubahan pemikiran dalam sastera Melayu kontemporari yang semakin menghargai peranan wanita sebagai individu yang berupaya membentuk masa depan mereka sendiri.
Melalui pembinaan watak yang autentik dan berwibawa, Nurin Amani membuktikan bahawa wanita bukan sekadar pelengkap naratif, tetapi penggerak utama yang mencorakkan perjalanan cerita dan membawa gagasan kemanusiaan yang signifikan.
Di samping menonjolkan kekuatan wanita, Nurin Amani tidak mengetepikan nilai spiritual sebagai asas ketahanan diri.
Watak-watak wanita dalam kumpulan cerpen ini sering menjadikan keimanan kepada Allah sebagai sumber kekuatan ketika menghadapi ujian.
Nilai seperti sabar, reda, tawakal dan syukur diselitkan secara halus dalam perkembangan cerita.
Pengarang menunjukkan bahawa kekuatan seseorang wanita bukan sahaja bergantung kepada kemampuan fizikal atau sokongan masyarakat, tetapi juga kepada hubungan mereka dengan Tuhan.
Pendekatan ini menjadikan karya lebih dekat dengan nilai kehidupan masyarakat Melayu yang berteraskan agama dan budaya.
Cantara Berkunang-kunang merupakan sebuah karya yang berjaya mengangkat isu wanita dengan penuh kepekaan.
Nurin Amani tidak hanya menonjolkan penderitaan wanita, malah memperlihatkan kekuatan, ketabahan dan keupayaan mereka untuk bangkit menghadapi cabaran kehidupan.
Kumpulan cerpen ini juga mengajak masyarakat supaya lebih memahami realiti yang dihadapi oleh wanita, menghargai pengorbanan mereka serta menghapuskan stereotaip yang sering membataskan potensi wanita.
Dengan menggabungkan bahasa yang indah, tema yang dekat dengan kehidupan dan nilai kemanusiaan yang tinggi, Cantara Berkunang-kunang menjadi sebuah karya yang signifikan dalam perkembangan sastera Melayu kontemporari.
Pengiktirafan terhadap mutu penulisan Nurin Amani ini dapat dilihat melalui penganugerahan Anugerah Sastera Negeri Johor ke-14 (2026) dalam kategori cerpen.
Beliau berjaya mengangkat suara wanita secara berhemah, bernuansa dan penuh empati.
Kepekaan beliau terhadap pengalaman feminin menjadikan karya ini bukan sahaja bernilai sebagai teks sastera, malah sebagai cerminan realiti sosial yang mampu menyemai kesedaran, rasa hormat dan penghargaan terhadap peranan wanita dalam kehidupan.
Para wanita wajar menjadikan buku ini sebagai bahan bacaan yang bermanfaat.
Buya Hamka pernah berpesan, “membaca buku-buku yang baik bererti memberi makanan rohani yang baik.”
Dapatkan kumpulan cerpen Cantara Berkunang-kunang di Shopee Nusa Centre.













