IBDE pertahan buku Mao Zedong sebagai karya akademik, susulan larangan KDN

Maozedong

KUALA LUMPUR — Penerbit Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) mempertahankan buku terjemahan Mao Zedong: China dalam Dunia Abad ke-20 sebagai karya akademik susulan pengharamannya oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Buku tersebut, yang merupakan terjemahan karya Rebecca E. Karl bertajuk Mao Zedong and China in the Twentieth-Century World, diterbitkan dalam bahasa Melayu pada tahun 2020.

Ia diterjemahkan oleh Dian Saleh sebagai sebahagian usaha memperluas akses kepada karya sejarah dunia dalam bahasa tempatan.

Ketua Pengarah Eksekutif IBDE, Mohd Farhan Affandi menegaskan bahawa buku tersebut merupakan penulisan sejarah yang bersifat akademik dan analitikal, bukannya bahan propaganda ideologi.

“Ia tidak bertujuan mempromosikan atau menyebarkan ideologi komunisme, sebaliknya menghuraikan peranan Mao Zedong dalam konteks sejarah dunia abad ke-20.

“Pendekatan sebegini (penerbitan karya) adalah amalan biasa dalam sejarah di peringkat antarabangsa,” katanya ketika dihubungi Titik Baca hari ini.

Menurut IBDE, kemampuan masyarakat untuk memahami pelbagai ideologi dan peristiwa sejarah secara kritikal merupakan tanda kematangan intelektual.

Mereka menegaskan bahawa memahami sesuatu tidak semestinya bermaksud menyokongnya, sebaliknya membantu membentuk penilaian yang lebih tepat dan berinformasi.

“Kami percaya bahawa kematangan sesebuah masyarakat terletak pada keupayaannya untuk memahami pelbagai ideologi dan peristiwa sejarah secara kritikal,” jelasnya.

Penerbit itu turut menyatakan bahawa dalam era akses maklumat tanpa sempadan, pendekatan terbaik adalah dengan memperkukuh wacana ilmu dan menyediakan bahan rujukan berkualiti dalam bahasa Melayu agar masyarakat dapat menilai isu global secara seimbang.

“IBDE kekal komited untuk menterjemah dan menerbitkan karya-karya penting dunia bagi memperkaya pemikiran masyarakat, selaras dengan aspirasi membina budaya ilmu yang matang dan berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Pengharaman buku ini menambah kepada beberapa kes terdahulu yang mencetuskan perdebatan mengenai kebebasan penerbitan di negara ini. Pada 15 April lalu, KDN turut mengharamkan buku Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejimen ke-10 serta Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Selain itu, novel Sigandi karya M. Navin yang diterbitkan oleh Fixi turut dilaporkan dikenakan larangan, sekali gus menguatkan kebimbangan dalam kalangan penggiat industri buku mengenai trend penapisan yang semakin meluas.

Setakat ini, pihak KDN belum mengeluarkan penjelasan terperinci secara terbuka berhubung rasional di sebalik siri pengharaman tersebut, yang kini menjadi perhatian pelbagai pihak termasuk penerbit, penulis dan organisasi sastera.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *