Nirnama ke pentas animasi, karya Hilal Asyraf rasmi dilamar WAU Animation

Nirnamawau

Usamah Zaid (kiri) bersama Hilal Asyraf. Foto media Hilal Asyraf.

KUALA LUMPUR — Novel popular Nirnama karya Hilal Asyraf kini melangkah ke satu fasa baharu apabila secara rasmi dilamar untuk diadaptasi ke bentuk animasi oleh WAU Animation, studio yang dikenali menerusi kejayaan siri dan filem Ejen Ali.

Perkembangan ini dimeterai menerusi majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara kedua-dua pihak semalam, sekali gus membuka lembaran baharu bagi karya yang sebelum ini hanya dinikmati dalam bentuk novel.

Menurut Hilal Asyraf, majlis tersebut bukan sekadar acara formal, sebaliknya turut diisi dengan sesi pembentangan awal projek oleh pihak studio.

Beliau didedahkan dengan perkembangan proof of concept, rekaan beberapa watak utama, runut bunyi, serta pelbagai elemen penting lain yang bakal membentuk adaptasi animasi Nirnama.

"Semalam sebenarnya bukan sekadar majlis tanda tangan.

"Di studio, saya dibentangkan perkembangan awal projek — daripada konsep visual hingga kepada muzik.

"Ia memberi keyakinan bahawa Nirnama berada di tangan yang tepat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Salah satu momen yang mencuri perhatian Hilal adalah apabila pengasas WAU Animation, Usamah Zaid, berkongsi babak kegemarannya dalam novel tersebut.

Menurut Usamah, beliau mula benar-benar tertarik dengan cerita Nirnama apabila membaca satu babak yang menyentuh tentang amalan solat sunat dua rakaat sebelum Subuh, satu elemen yang disifatkan sederhana, namun memberi kesan mendalam.

Hilal mengakui tidak menyangka babak yang dianggapnya sekadar selitan kecil untuk menyemai kesedaran itu menjadi antara faktor utama yang menarik minat Usamah terhadap karya tersebut.

"Saya rasa macam rawak sahaja momen itu. Tapi rupanya itulah yang buat beliau terkesan dan terus mengikuti cerita ini," jelasnya.

Dari minat peribadi ke kerjasama profesional

Perjalanan adaptasi ini bermula seawal Ogos 2025 apabila Usamah menghubungi Hilal setelah membaca Nirnama.

Minat tersebut berkembang menjadi perbincangan berterusan yang merangkumi aspek cerita, prinsip, mesej serta visi karya berkenaan.

Menurut Hilal, kejujuran Usamah dalam memahami karya itu menjadi faktor penting dalam membina kepercayaan antara mereka.

"Perbualan kami bukan sekadar umum. Dia benar-benar membaca Nirnama, bukan sekadar selak atau ikut hype. Itu yang menjadikan diskusi kami lebih mendalam," katanya.

Hasil daripada beberapa fasa perbincangan, kedua-dua pihak akhirnya mencapai persetujuan untuk mengangkat Nirnama ke medium animasi secara rasmi.

Hilal turut menegaskan komitmennya untuk memudahkan segala urusan pihak studio sepanjang proses pembangunan projek tersebut.

"Saya akan sedaya upaya membantu agar projek ini berjalan lancar.

"Berdasarkan pembentangan yang saya lihat, saya yakin Nirnama berada di tangan yang baik dan berpotensi mendapat sambutan yang positif," tambahnya.

Pendekatan dakwah yang segar

Sementara itu, Usamah Zaid melihat Nirnama sebagai sebuah karya yang menawarkan pendekatan dakwah yang berbeza dan lebih organik.

"Saya memang lama mencari idea bagaimana nak membawa pendekatan Islam dalam penceritaan yang tidak cetek, tetapi masih menarik. Nirnama berjaya lakukan itu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau menambah bahawa kekuatan utama karya tersebut terletak pada cara mesej keagamaan disampaikan secara semula jadi melalui watak dan jalan cerita, tanpa kelihatan dipaksa.

"Watak Nirnama itu sendiri menarik. Cool tetapi dalam masa sama seorang Muslim yang membawa nilai agama secara bersahaja.

"Elemen dakwah dimasukkan mengikut keperluan cerita, bukan secara tiba-tiba," jelasnya.

Menurut Usamah, pendekatan itu bukan sahaja memperkayakan naratif, malah memberi inspirasi peribadi kepadanya.

"Saya sendiri rasa terinspirasi untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik apabila membaca karya ini," katanya lagi.

Dari angan-angan ke realiti

Bagi Hilal, pencapaian ini membawa makna yang besar secara peribadi. Beliau mengakui bahawa Nirnama pernah dianggap sebagai karya kecil, bahkan sekadar “angan-angan” pada peringkat awal.

Namun, perjalanan tersebut berubah apabila karya itu berjaya menyentuh hati pembaca, termasuk Usamah sendiri, sehingga membuka peluang ke medium yang lebih luas.

"Dari sesuatu yang dianggap try hard dan karya picisan, Allah hadirkan seseorang yang benar-benar percaya dan mahu membantu membawa karya ini ke pentas visual.

"Itu sesuatu yang saya sendiri tidak sangka," katanya penuh syukur.

Harapan dan Sokongan

Mengakhiri kenyataannya, Hilal berharap agar para pembaca dan peminat dapat terus menyokong usaha ini, termasuk mendoakan kejayaan adaptasi animasi Nirnama.

Dengan gabungan kekuatan penceritaan Hilal Asyraf dan reputasi produksi daripada WAU Animation, projek ini dilihat berpotensi menjadi satu lagi karya animasi tempatan yang memberi impak, bukan sahaja dari sudut hiburan, tetapi juga nilai dan mesej yang dibawakan.