KUALA LUMPUR, 25 April — Pensyarah kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Dr. Fairuzzaman Shaharuddin berkongsi bagaimana perjalanan pembacaan sejak kecil telah membentuk identiti diri dan cara pemikirannya hingga ke hari ini.
Perkongsian itu disampaikan dalam sesi Kelah Buku @ Kota Baca bertajuk “Identiti Bangsa Membaca” sempena Kota Baca 2026 yang berlangsung di Dataran Merdeka hari ini.
Pengaruh awal: Perpustakaan dan buku kanak-kanak
Menurut Fairuzzaman, minat membaca bermula sejak zaman sekolah rendah apabila beliau sering dibawa ke kedai buku dan perpustakaan oleh bapanya yang merupakan seorang guru perpustakaan.
Beliau mengimbau pengalaman mengunjungi Kedai Buku Haji Marwilis di Tanjung Malim serta rutin hujung minggu di perpustakaan yang membuka ruang kebebasan untuk meneroka pelbagai bahan bacaan.
“Pada waktu itu saya bebas memilih buku. Di situlah bermulanya hubungan saya dengan dunia pembacaan,” katanya.
Beliau turut mengingati detik sekitar tahun 1998 ketika berada di darjah lima, apabila terdedah kepada novel Shit karya Shahnon Ahmad yang memperkenalkannya kepada bentuk penulisan yang berbeza daripada bahan bacaan sekolah.
Remaja: Muzik dan kesedaran politik
Memasuki alam sekolah menengah, kecenderungan pembacaan beliau berubah apabila terpengaruh dengan kumpulan muzik Rage Against the Machine.
Lirik lagu yang sarat dengan isu politik dan sejarah mendorong beliau membaca dengan lebih serius dalam bidang tersebut.
“Saya mula membaca lirik dan dari situ beralih kepada bahan bacaan yang lebih berat seperti sejarah dan politik,” jelasnya.
Universiti: Pengaruh barat dan krisis pemikiran
Semasa mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Hubungan Antarabangsa, Fairuzzaman banyak terdedah kepada teori dan pemikiran Barat.
Menurutnya, pengalaman itu pada awalnya membentuk cara pandang yang cenderung mengagungkan standard Barat.
“Saya melihat seolah-olah kita perlu menjadi seperti Barat untuk maju. Ada semacam rasa ‘tertawan’ dalam cara berfikir,” katanya.
Namun, perubahan besar berlaku selepas beliau membaca karya seperti Revolusi Mental oleh Senu Abdul Rahman dan The Malay Dilemma oleh Mahathir Mohamad yang membuka ruang perbahasan tentang masyarakat Melayu.
UKM: Menemui wacana tempatan
Ketika melanjutkan pengajian sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), beliau mula menyedari kekayaan wacana sarjana tempatan.
Melalui diskusi bersama rakan dan pendedahan kepada tokoh seperti Faisal Tehrani, beliau menemui karya-karya Syed Hussein Alatas seperti Mitos Peribumi Malas, Intelektual Masyarakat Membangun, dan Siapa Yang Salah?: Sekitar Revolusi Mental dan Peribadi Melayu.
“Pada ketika itu saya rasa malu kerana banyak karya sarjana tempatan yang saya tidak kenal.
“Dari situ saya mula membaca dan memahami kritikan terhadap wacana yang saya pegang sebelum ini,” katanya.
Pembacaan ini, menurutnya, mengubah perspektif daripada melihat masyarakat sendiri secara negatif kepada memahami konteks tempatan dengan lebih kritis dan seimbang.
“Saya baru tahu juga bahawa buku-buku ini mengkritik apa buku yang telah saya baca dahulu iaitu Revolusi Mental dan Dilema Melayu,” katanya.
Menurutnya lagi, pandangan yang dilontarkan oleh Syed Hussein sangat kritis dan berakar kepada idea-idea tempatan dan hujah-hujahan yang masuk akal.
“Saya mula meninggalkan perlahan-lahan wacana-wacana yang semacam cuba untuk merendah-rendahkan orang Melayu tanpa sedar,” tambahnya lagi.
PhD di Jerman: Menelusuri akar kolonialisme
Fairuzzaman kemudian melanjutkan pengajian doktor falsafah di Goethe University Frankfurt.
Ketika ini pembacaannya berkembang kepada isu kolonialisme dan pembentukan pengetahuan.
Antara karya yang memberi kesan termasuk tulisan Bernard S. Cohn dan Mahmood Mamdani yang membincangkan bagaimana kuasa kolonial membentuk cara masyarakat memahami diri mereka.
Beliau turut membaca karya Amin Sweeney yang menambah dimensi terhadap pemahaman budaya dan sastera.
“Pembacaan ini membawa saya kembali melihat bagaimana pengetahuan itu dibentuk, bukan sahaja dalam politik tetapi juga dalam sastera dan kehidupan seharian,” katanya.
Pulang dan refleksi diri
Menjelang tamat pengajian, beliau terkesan dengan karya Pulang Si Tenggang oleh Muhammad Haji Salleh yang menggambarkan pergolakan identiti seorang anak yang kembali ke tanah air.
“Sajak itu seolah-olah mencerminkan pengalaman saya sendiri—pergelutan antara pengalaman luar negara dan identiti apabila pulang,” katanya.
Identiti sebagai cerminan pembacaan
Merumuskan perjalanannya, Fairuzzaman memetik pandangan Faisal Tehrani bahawa peribadi seseorang adalah cerminan bahan bacaan lima tahun sebelumnya.
“Bagaimana diri kita hari ini banyak ditentukan oleh apa yang kita baca sebelum ini. Dan lima tahun akan datang, mungkin kita akan dibentuk oleh pembacaan yang berbeza pula,” petiknya.
Sesi Cerakin Kata ini merupakan sebahagian daripada pengisian Kota Baca 2026, acara literasi kebangsaan yang berlangsung dari 23 hingga 26 April, menghimpunkan pelbagai aktiviti untuk menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
Program ini dilihat sebagai platform penting dalam membina masyarakat berilmu, selari dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara membaca menjelang 2030.












