Pengharaman buku: PENA akur tindakan kerajaan, namun tekankan keperluan penjelasan

Saleehrahamad

KUALA LUMPUR — Persatuan Penulis Nasional Malaysia menyatakan pendirian akur terhadap tindakan kerajaan dalam menguatkuasakan undang-undang, namun menegaskan bahawa penjelasan lebih jelas perlu diberikan kepada penerbit dan penulis berhubung pengharaman buku.

Presidennya, Mohamad Saleh Rahamad, berkata pihaknya tidak melihat isu tersebut sebagai ruang untuk menentang kerajaan secara membuta tuli, sebaliknya menekankan kepentingan mematuhi undang-undang sambil membuka ruang semakan terhadap keputusan yang dibuat.

“Pada saya, kami bukan mahu menjadi pelanggar undang-undang.

“Kita akur pada undang-undang, tetapi pihak berkenaan boleh merayu untuk melihat semula adakah alasan pengharaman itu tepat atau tidak,” katanya ketika ditemui Titik Baca pada Ahad.

Menurut beliau, terdapat kemungkinan bahawa sesetengah keputusan pengharaman dibuat atas pertimbangan keselamatan atau faktor sensitif tertentu yang tidak boleh didedahkan sepenuhnya kepada umum, termasuk melibatkan aspek ideologi.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa penerbit dan penulis berhak mendapatkan penjelasan, sekurang-kurangnya melalui saluran pertemuan secara bersemuka dengan pihak berkuasa.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa kebebasan tidak boleh diberikan tanpa batasan, khususnya dalam konteks masyarakat berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.

“Kita ada batasan dalam sensitiviti agama, kaum, politik dan rejim.

“Kalau terlalu bebas tanpa kawalan, ia boleh membawa kepada keadaan yang tidak terkawal,” katanya.

Beliau turut berpandangan bahawa setiap tindakan kerajaan mempunyai rasional tersendiri dan tidak wajar semua keputusan dipertikaikan secara terbuka tanpa mengambil kira konteks lebih luas.

“Tak boleh semuanya kita nak redah ikut kita sahaja. Kalau begitu, boleh jadi anarki,” tambahnya.

Kenyataan itu hadir dalam konteks kontroversi pengharaman beberapa buah buku oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini yang mencetuskan perdebatan dalam kalangan penggiat industri buku.

Pada 15 April lalu, KDN mengharamkan buku Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejimen ke-10 serta Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Tindakan itu diikuti dengan larangan terhadap novel Sigandi karya M. Navin terbitan Fixi, serta buku terjemahan sejarah Mao Zedong: China dalam Dunia Abad ke-20 oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).

Siri pengharaman tersebut telah mengundang pelbagai reaksi, termasuk kritikan daripada PEN Malaysia dan beberapa ahli politik yang mempersoalkan ketelusan serta rasional di sebalik tindakan itu.

Dalam perkembangan terkini, Malaysian Book Publishers Association (MABOPA) memaklumkan bahawa pihak KDN telah memberi jaminan untuk menyemak semula buku-buku yang diharamkan serta menghentikan operasi rampasan buat sementara waktu.

Mengulas lanjut, Mohamad Saleh menegaskan bahawa walaupun ruang perbincangan perlu dibuka, pendekatan yang seimbang antara kebebasan dan kawalan tetap penting bagi memastikan kestabilan sosial terus terpelihara.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *