Kuota 100 sehari permohonan ISBN PNM cetus kebimbangan penerbit menjelang PBAKL 2026

Pnm

Kredit foto: asef.org

KUALA LUMPUR — Keputusan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mengehadkan permohonan ISBN dan Pengkatalogan dalam Penerbitan (PdP) kepada 100 sehari mencetuskan keresahan dalam kalangan penerbit tempatan, khususnya menjelang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 yang dijadual berlangsung dari 29 Mei hingga 7 Jun ini.

Berdasarkan maklumat di laman rasmi permohonan, proses hanya dibuka pada hari bekerja, Isnin hingga Jumaat dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Permohonan akan ditutup lebih awal sekiranya kuota harian telah dipenuhi atau waktu operasi tamat, manakala Sabtu, Ahad dan cuti umum tidak beroperasi.

Langkah itu bagaimanapun menerima pelbagai reaksi di media sosial apabila ramai penerbit mendakwa ia menjejaskan perancangan penerbitan mereka, terutama dalam tempoh kritikal menjelang acara buku terbesar negara.

Penerbit Nusa Centre, SM Zakir, berkongsi pengalamannya apabila hanya sempat menghantar dua judul sebelum sistem permohonan ditutup seawal jam 9 pagi.

“Datang pejabat pukul 8.00 pagi, lepas dua judul sahaja untuk permohonan ISBN. Nak masuk mohon judul seterusnya laman permohonan ISBN dah tutup. Jam 9.00 pagi sudah tutup. Tak apa lah rezeki hari ini. Harap Perpustakaan Negara Malaysia dapat mengatasi trafik permohonan ISBN dengan cara yang lebih baik terhadap penerbit,” katanya melalui media sosial.

Screenshot 2026 05 05 At 12.56.28 Pm
Pemakluman dalam sistem permohonan ISBN dan PdP oleh PNM.

Nada sama turut disuarakan pembaca, Kia Syakira, yang menyifatkan kuota tersebut terlalu rendah.

“Betul, 100 permohonan tu sikit sangat. Naikkan kuota. Madani membaca camane ni. Nak mohon ISBN pun kena berebut,” katanya.

Seorang lagi penerbit, M Farez Karim, menggambarkan situasi permohonan seolah-olah perebutan tempat.

“Ada kuota setiap hari. Pukul 8 pagi dah kena fight daftar, macam nak tempah tapak pasar Ramadan,” ujarnya.

Dalam pada itu, pengguna lain, Awang Abdul Muizz, memaklumkan had tersebut telah dilaksanakan sejak satu hingga dua bulan lalu, selain wujud isu teknikal ketika permohonan.

“PNM dah hadkan sehari 100 permohonan saja sejak sebulan atau dua yang lalu. Buka dan proses ikut waktu pejabat pula itu. Sempat ada masalah teknikal pun masa memohon. Syukur Alhamdulillah dapat buat permohonan pada sebelah pagi hari ini dan dapat barkod ISBN-nya pada sebelah petang,” katanya.

Sementara itu, Nurul Asyikin Ngadiso turut menggambarkan pengalaman ‘memburu slot’ permohonan.

“Kena battle slot. Dibuka pada hari bekerja sahaja dan ditutup jika kuota habis pada hari berkenaan. Refresh dari jam 8:00 pagi. Dekat pukul 9 baru boleh hantar. Alhamdulillah,” katanya.

Dengan tempoh kurang sebulan sebelum PBAKL 2026 membuka tirai, penerbit berharap PNM dapat mempertimbangkan penambahbaikan sistem, termasuk peningkatan kuota atau peluasan waktu operasi, bagi memastikan kelancaran industri penerbitan tempatan.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *